PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima Anugerah Ijazah Sanad Hadis Khas sebagai penghormatan ilmiah ulama antarabangsa terhadap sokongan beliau dalam perkembangan pengajian hadis bersanad di Malaysia.
Pengiktirafan itu disampaikan oleh barisan ulama dan masyayikh musnidin antarabangsa yang diketuai Mufti Besar India, Sheikh Abubakr Ahmad.
Ijazah itu disampaikan sempena pada Majlis Perasmian Khatam Sama’ Hadis Jami’ Al-Tirmidhi Danal -Syama’il Al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di Masjid Putra, Putrajaya malam ini, lapor Harian Metro.
Anugerah berkenaan bukan sekadar penghargaan kepada Anwar sebagai individu, sebaliknya melambangkan usaha bersama ulama, ilmuwan, institusi agama, guru hadis dan penuntut ilmu dalam memartabatkan pengajian hadis di negara ini.
Penghormatan itu turut disertai dokumen ijazah khas bertajuk Tuhfat al-Jalīs bi Ijāzat Fakhāmat al-Ra’īs yang disusun Sheikh Dr NajiRashid al-Arabi dari Bahrain.
Ijazah berkenaan merangkumi sanad bagi Kutub al-Sittah, iaitu Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Dawud, Jami’ al-Tirmidhi, Sunan al-Nasa’i dan Sunan Ibn Majah.
Ia turut merangkumi al-Muwatta’ Imam Malik serta Musnad Imam Abu Hanifah, Imam al-Shafi’i dan Imam Ahmad, selain hadis musalsal dan ijazah umum menurut syarat yang diterima dalam tradisi ulama hadis.
Usaha berkenaan menyumbang kepada perkembangan Malaysia sebagai tempat pertemuan ulama, musnidin dan penuntut ilmu dari pelbagai negara.
Seramai 10,000 peserta bersama 40 ulama antarabangsa dan tempatan berhimpun di Masjid Putra, sekaligus menutup rangkaian pengajian selama 11 hari.
Penganjuran itu meneruskan kesinambungan Majlis Sama’ Hadis Sahih al-Bukhari pada 2024 dan Sahih Muslim pada 2025.
Namun, edisi tahun ini lebih istimewa dengan pengajian Syamä’il al-Muhammadiyyah, iaitu karya yang menghimpunkan riwayat mengenai sifat, keperibadian, kehidupan dan akhlak Rasulullah SAW sebagai panduan untuk umat mencontohi Baginda.
Pengajian kedua-dua karya muktabar ini bukan sahaja menghidupkan tradisi hadis berteraskan sanad dan disiplin ilmu, malah menyuburkan kecintaan kepada Rasulullah SAW serta penghayatan sunnah dalam kehidupan.





