Apa masalah KLIA ni?

AWANG tertanya-tanya apa sudah berlaku kepada KLIA, mula-mula umum perkhidmatan aerotrain Terminal 1 dihentikan sementara bermula dari pukul 9 malam hingga 7 pagi bermula hari ini selama sebulan, lepas tu berlaku pula kebocoran di beberapa bahagian di terminal yang sama  susulan hujan ribut tengah hari semalam.

Ogos lalu bekalan elektrik terganggu di KLIA 2. Walaupun ia berlaku kira-kira 20-28 minit disebabkan ‘arus edaran’ yang mengakibatkan pemanasan lampau, tetapi kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan dan MAHB kena buat sesuatu untuk elak KLIA kena ‘penyakit berangkai’.

Macam aerotrain, Awangpun tak ingat dah berapa kali ada gangguan sejak ia beroperasi semula Julai lalu. Sekarang tambah lagi satu masalah, terminal utama bocor. Apa masalah KLIA ini? Aerotrain problem, bumbung bocor, elektrik terputus, lepas ni apa pula?

Masalah ‘counter setting’ di KLIA, SPRM dah selesaikan tapi Awang tak pastilah masih ‘ada lagi atau tidak’ spesis nak kaya cepat dengan makan duit haram kat pintu masuk utama negara tu. Harap-harap tak ada lah.

KDN, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan kena pastikan KLIA tak ada masalah lagi. Semua masalah yang berlaku kena selesai cepat dan paling penting, pastikan tak berulang! Tahun depan kita nak sambut Tahun Melawat Malaysia, sasaran hebat nak 47 juta pelancong antarabangsa dan boleh dapat  RM329 bilion.

Sasaran itu tak ada masalah, yang masalahnya, kalau ada masalah di KLIA. Apa kita nak jawab dengan pelancong?   Mereka sampai penat-penat kat KLIA, kena beratur panjang naik bas, silap-silap masuk ke dalam terminal ‘dah boleh melancong dah’ sebab ada ‘air terjun automatik’, masa kat situ ‘blackout pula’…jalan keluar terminal ‘disambut ulat’…datang Malaysia nak santai, last-last ‘lunyai’.

Senario ini Awang bagi contoh aje…bukannya harap ia berlaku betul-betul. Biarpun jarang-jarang berlaku…Semua perkara itu boleh dielakkan dan diatasi. KLIA berusia 27 tahun dah. Semua kena pastikan sentiasa ‘ok’. Tak guna kita dók bangga KLIA antara lapangan terbang terpenting di rantau ini, kalau sepanjang masa dok sibuk selesai ‘penyakit 3-4 serangkai’ kat situ. Malu kat orang.

Semalam Awang tengok ramai orang termasuk pelancong asing yang ambil video dan gambar kebocoran kat KLIA…Awang yakin mereka akan sebarkan, bukan niat mereka nak burukkan KLIA tetapi nak tunjuk apa yang berlaku.

Bila dah macam tu satu dunia tahu, KLIA ada kebocoran bumbung, bila mereka ‘google lagi’ , maka dapatlah  info aerotrain tak beroperasi mula pukul 9 malam hingga pukul 7 pagi, KLIA pernah ada kes ‘counter setting’, pernah berlaku terputus bekalan elektrik’ dan ada ‘ancaman ulat’. 

Semua itu tidak baik untuk imej negara sebab ada orang cakap, kalau nak tengok macam mana sesebuah negara, tengoklah ‘airportnya’…Nak terima atau tidak, andaian macam itu…terpulang…cuma Awang harap imej KLIA jangan terus bermasalah

Awang : tak suka mandi air terjun ‘jadi-jadian’

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img