Apakah BN melayan MCA bagaikan ‘melukut di tepi gantang’?

“MCA tidak boleh diperlakukan sesuka hati. Kami berhak dilayan dengan penuh hormat. Bagaimana keputusan boleh dibuat bagi pihak MCA tanpa persetujuan kami sedangkan Presiden MCA masih di sini?”

Kata-kata ini yang dilafazkan oleh Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong malam tadi di Ayer Keroh, Melaka membuktikan betapa kecewanya parti itu terhadap kepimpinan Barisan Nasional (BN) berkaitan pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 14 November ini.

Nada suara Ka Siong ketika bercakap kepada wartawan selepas bertindak meninggalkan Majlis Pengumuman Calon BN menunjukkan parti itu benar-benar kesal dengan apa yang berlaku.

Segalanya berlaku apabila MCA yang bertanding tujuh kerusi pada PRN Melaka 2021, kali ini  hanya diberikan laluan untuk bertanding dan mempertahankan dua kerusi yang dimenanginya iaitu Machap Jaya dan Klebang.

 Lima kerusi lain iaitu Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hilir dan Bemban ‘sudah dihanyutkan’ kepada Pas dan rakan strategiknya dalam Perikatan Nasional (PN). Apa yang dikesalkan oleh Ka Siong ialah lima kerusi berkenaan diberikan kepada parti lain tanpa sebarang rundingan, meskipun MCA merupakan parti kompone BN sejak sekian lama.

Sememangnya kalau melihat kepada keputusan daripada lima kerusi berkenaan pasti yang berkata, MCA hanya ada peluang di DUN Bemban yang mereka tewas dengan majoriti 328 undi tetapi untuk menang di empat kerusi lain agak sukar.

Ia kerana empat kerusi itu dimenangi DAP dengan majoriti undi besar iaitu Ayer Keroh (5,624 undi), Kesidang (10,237 undi), Kota Laksamana (11,494 undi) dan  Bandar Hilir (7,778 undi), tetapi ia bukan soal menang atau kalah, sukar atau mudah tetapi kepimpinan BN harus menghormati MCA sebagai parti setia dengan komponen sejak sekian lama.

“Sekurang-kurangnya, kami patut diberikan sedikit penghormatan. Kami sekutu, bukannya musuh. Sekiranya perbincangan sewajarnya diadakan dan kami mencapai keputusan bersama, kami bersedia berkongsi tanggungjawab,” kata Ka Siong.

Tetapi itu tidak dilakukan oleh kepimpinan BN sebaliknya Ka Siong mendakwa Setiausaha Eksekutif BN telah memaklumkan MCA kira-kira 9 malam semalam bahawa majlis itu hanya melibatkan pelancaran jentera pilihan raya, tanpa sebarang pengumuman calon.

Bagaimanapun, selepas tiba di lokasi, beliau diberitahu bahawa calon mungkin diumumkan.

Ka Siong mempersoalkan kepimpinan BN berhubung perubahan itu, sambil berkata MCA mengetahui dalam satu mesyuarat dua hari lalu bahawa kerusi yang pernah ditandinginya akan diberikan kepada parti lain tanpa rundingan sewajarnya.

Kalau dikaji kenyataan Ka Siong itu ia seolah-olah memberi gambaran bahawa MCA dilayan bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ oleh BN. Wajarkah? Sedangkan MCA turut menyumbang dua daripada 21 kerusi yang dimenangi oleh BN pada PRN lalu iaitu Machap Jaya dan Klebang.

Dan sudah tentulah jentera MCA juga sedikit sebanyak turut bertungkus lumus memastikan kemenangan BN di 19 kerusi lain, tetapi kenapakah mereka dilayan sedemikian, apakah sudah ada kawan baru, kawan lama mahu dipinggirkan?

Sebenarnya apa yang berlaku tidaklah aneh, kalaulah dengan Pakatan Harapan (PH) yang BN bersama-sama memimpin negara pun, BN ‘tinggalkan’ apabila berpakat dengan Pas di Negeri Sembilan sebelum ini, apalah sangat MCA.

Apa yang berlaku kepada MCA itu juga boleh dijadikan pengajaran kepada Pas supaya jangan seronok sangat apabila dapat bekerjasama dengan UMNO-BN di Melaka dan pilihan raya selepas ini. Ia kerana apabila tiba masa tidak mustahil, mereka juga akan menerima nasib seperti MCA.

Tambahan pula tindakan UMNO bekerjasama dengan Pas bukanlah dipersetujui 100 peratus oleh kesemua pemimpin UMNO…masih ada yang ‘bermuka kelat’ apabila Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi  mengumumkan kesepakatan tersebut.

Kepada MCA, kalaupun tidak menarik diri daripada bertanding di Melaka, tidak payahlah beria-ia sangat hendak berkempen, kasihan ahli-ahlinya yang bekerja keras menangkan BN akhirnya dilayan bagaikan ‘ada pun tak untung, tak adapun tak rugi’.

Kalau di PRN Melaka, MCA ‘beri muka’ kepada kepimpinan BN yang seolah-olah tidak menghormati mereka, percayalah untuk pilhan raya akan datang…jangan harap MCA akan diberikan kerusi..silap-silap kerusi yang ada sekarang khususnya di kawasan majoriti Melayu turut diambil oleh UMNO…bunyi-bunyinya sudah ada..



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here