Wanita pengsan ketika terperangkap dalam lif bersama lima individu

SEORANG wanita berusia 25 tahun tidak sedarkan diri selepas terperangkap dalam sebuah lif bersama lima individu lain termasuk dua kanak-kanak di Idaman Selasih, Lilitan Sungai Ara di Bayan Lepas malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 8.55 malam itu berlaku apabila lif di Blok B bangunan berkenaan terhenti di tingkat tiga, menyebabkan kesemua enam individu berkenaan terperangkap di dalamnya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru bergegas ke lokasi.

Menurutnya, pasukan penyelamat tiba pada jam 9.05 malam dan menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu lif bagi mengeluarkan semua mangsa.

“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 9.31 malam selepas pintu lif dibuka.

“Lima daripada mereka berada dalam keadaan selamat, manakala seorang wanita yang tidak sedarkan diri menerima rawatan awal daripada anggota Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang berada di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, wanita berkenaan kemudian dibawa menggunakan ambulans PBSM ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi itu membabitkan enam anggota bomba dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).

John berkata, operasi ditamatkan pada jam 10.10 malam selepas pemeriksaan mendapati tiada bahaya lain di lokasi, sebelum kawasan kejadian diserahkan kepada pihak pengurusan bangunan untuk tindakan lanjut.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here