Arab Saudi beri amaran Houthi akan terima akibat

KABINET Arab Saudi pada Selasa memuji operasi ketenteraan Gabungan Menyokong Kerajaan Sah di Yaman terhadap kumpulan Houthi, sambil memberi amaran bahawa kumpulan itu akan berdepan akibat susulan serangan berulang terhadap negara berkenaan.

Majlis Menteri-Menteri turut berikrar melindungi kebebasan pelayaran di Laut Merah dan Selat Bab al-Mandab.

Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Riyadh memuji usaha Angkatan Tentera Arab Saudi dalam mempertahankan negara, menjamin keselamatan rakyat dan penduduk, melindungi sumber negara serta mengekang ancaman terhadap kedaulatannya.

Menteri-menteri mengecam serangan terbaharu Houthi yang menyasarkan lapangan terbang Arab Saudi, dua kota suci Makkah dan Madinah, jemaah yang mengunjungi Dua Masjid Suci serta kemudahan dan infrastruktur awam dan ekonomi.

Mereka turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam serangan berkenaan serta mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih.

Kabinet Arab Saudi berkata, operasi yang dilaksanakan oleh gabungan ketenteraan antarabangsa di Yaman bertujuan meneutralkan ancaman Houthi terhadap rakyat Yaman, keamanan dan keselamatan antarabangsa, perdagangan global serta rantaian bekalan antarabangsa.

Kabinet turut merakamkan penghargaan kepada negara dan organisasi antarabangsa yang mengecam serangan kumpulan berkenaan.

Anggota Kabinet juga memuji usaha memulihkan aliran minyak menerusi saluran paip Timur-Barat Arab Saudi selepas operasinya dihentikan sementara akibat serangan dron pada 11 September lalu.

Menurut mereka, pemulihan pantas itu membuktikan keupayaan sistem tenaga Arab Saudi untuk menyesuaikan diri dengan gangguan serta memastikan bekalan yang boleh dipercayai kepada pasaran antarabangsa.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here