EMPAT orang cedera akibat serpihan yang jatuh di Riyadh selepas sistem pertahanan udara Arab Saudi memintas peluru berpandu yang dilancarkan oleh kumpulan Houthi ke arah ibu negara itu.
Letupan kuat kedengaran di Riyadh sejurus sebelum tengah malam Selasa ketika sistem pertahanan udara Arab Saudi memintas sasaran bermusuhan di ruang udara bandar berkenaan.
Pertahanan Awam Arab Saudi pada Rabu memaklumkan serpihan daripada dua peluru berpandu kruis yang dipintas jatuh di sekitar 15 kediaman, menyebabkan empat orang cedera.
Pihak berkuasa turut mengeluarkan gambar yang menunjukkan kerosakan pada kediaman orang awam akibat insiden itu.
Jurucakap Gabungan bagi Memulihkan Kerajaan Sah di Yaman, Mejar Jeneral Turki Al-Maliki, berkata awal Rabu bahawa sebuah peluru berpandu kruis turut dimusnahkan di wilayah Al-Kharj.
Arab Saudi berdepan beberapa serangan peluru berpandu balistik dan dron di seluruh negara pada Selasa. Peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arah Dhahran dan Haradh berjaya dipintas pihak berkuasa.
Kementerian Tenaga dalam satu kenyataan memaklumkan sebuah bangunan pentadbiran Saudi Aramco di Dhahran menjadi sasaran serangan, namun tiada kecederaan dilaporkan. Al-Maliki berkata lewat Selasa bahawa tiga dron turut dimusnahkan di utara Riyadh.
Kerajaan Arab Saudi berikrar kumpulan pemberontak Houthi yang disokong Iran akan menerima akibat atas serangan berulang terhadap negara itu.
Dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, para menteri mengecam tindakan Houthi dan berikrar mempertahankan kebebasan pelayaran di Laut Merah serta Selat Bab al-Mandab, yang turut diancam kumpulan berkenaan.
Kabinet juga menyokong operasi gabungan bagi meneutralkan ancaman kumpulan itu terhadap rakyat Yaman, keamanan dan keselamatan antarabangsa serta perdagangan global.
Pada Sabtu, serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh mengorbankan 13 orang dan menyebabkan ratusan lagi cedera.
Houthi turut menyerang Lapangan Terbang Antarabangsa Abha di Arab Saudi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Aden di Yaman minggu ini.
Video serangan di Lapangan Terbang King Khalid yang dikeluarkan pihak berkuasa Arab Saudi menunjukkan orang awam, termasuk ramai jemaah yang dalam perjalanan ke kota suci Makkah dan Madinah, sedang menunggu penerbangan sebelum cahaya jingga terang menyambar terminal berkenaan.
Menurut pihak berkuasa penerbangan Arab Saudi, mangsa yang terkorban termasuk empat warga Saudi, dua warga Bangladesh, seorang rakyat Palestin, seorang warga Amerika Syarikat, seorang warga Mesir, seorang warga Jordan, seorang warga Syria dan seorang warga Sudan.
Sehari kemudian, seorang orang awam warga Pakistan terbunuh apabila lapangan terbang sama sekali lagi menjadi sasaran serangan.





