ASEAN perlu tampil pendekatan bersepadu hadapi cabaran global – PM

MALAYSIA  komited memperkukuh kerjasama serantau menerusi BIMP-EAGA sebagai wahana strategik yang bukan sahaja merapatkan jurang pembangunan, malah memperluas jaringan perdagangan, pelaburan, keterhubungan digital serta keterjaminan makanan demi kemaslahatan rakyat di rantau ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,  dalam Sidang Kemuncak Khas BIMP-EAGA di Cebu hari ini, beliau menegaskan bahawa Visi BIMP-EAGA 2035 mesti dipacu dengan semangat kebersamaan, tatakelola yang mampan serta iltizam untuk memastikan wilayah-wilayah terpencil dan kurang membangun tidak terus tercicir daripada arus pembangunan.

‘’Tatkala dunia berhadapan cabaran krisis bekalan tenaga, perubahan iklim dan ketidaktentuan ekonomi global, rantau ini harus tampil dengan pendekatan yang lebih bersepadu dan berani.

‘’Justeru, Malaysia mendukung pengukuhan keterhubungan tenaga rentas sempadan, pelaburan dalam tenaga boleh baharu serta penyelesaian lestari seperti solar dan mini-grid agar manfaat pembangunan dapat dinikmati secara adil dan inklusif oleh seluruh rakyat, termasuk komuniti di kawasan pedalaman,’’ katanya melalui sosial media Telegram beliau.

Anwar berkata, Visi 2035 bukan sekadar dokumen dasar, tetapi cerminan tekad bersama untuk membina sebuah rantau yang lebih berdaya tahan, kompetitif dan manusiawi.

‘’Dengan semangat ASEAN yang terus menyala, kita akan terus menyokong agenda pembangunan yang memuliakan insan, memperkasa masyarakat setempat dan menyemarak masa depan yang lebih sejahtera buat generasi mendatang,’’ katanya.

BIMP-EAGA, yang merujuk kepada Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina, ditubuhkan pada tahun 1994 dengan matlamat mempercepat pertumbuhan ekonomi inklusif, pembangunan dan kemakmuran di kawasan kurang membangun dalam negara anggotanya.

Sementara itu, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr selaku Pengerusi ASEAN tahun ini berkata perbincangan pada sidang kemuncak tersebut, menampilkan program dan projek utama yang kini memberi impak besar kepada komuniti tempatan menerusi penciptaan peluang pekerjaan, pengukuhan hubungan jaringan serta peluasan peluang, khususnya di kawasan pertumbuhan subwilayah.

“Kejayaan ini mengingatkan kita bahawa kerjasama serantau memberikan nilai paling besar, apabila ia mampu meningkatkan kesejahteraan komuniti tempatan.

“Biarlah sidang kemuncak ini memperbaharu tekad kita untuk menterjemahkan visi kepada tindakan dan perancangan kepada impak berkekalan. Secara bersama-sama, marilah kita terus membina BIMP-EAGA yang lebih terhubung, berdaya tahan dan makmur demi generasi masa kini dan akan datang,” katanya.

Mengenai Wawasan BIMP-EAGA 2035, Marcos berkata ia bukan sekadar pelan hala tuju bagi integrasi ekonomi, tetapi satu janji untuk memastikan pembangunan yang bermakna, mampan dan dapat dirasai dalam kehidupan harian rakyat di rantau itu.

Filipina mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN daripada Malaysia pada 1 Jan 2026.

Bertemakan Navigating Our Future, Together, republik itu sepanjang tempoh kepengerusiannya berusaha memacu keutamaan ASEAN menerusi tiga teras utama iaitu Tonggak Keamanan dan Keselamatan, Koridor Kemakmuran serta Pemerkasaan Rakyat.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img