SEORANG remaja perempuan warga asing berusia 16 tahun ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri dengan kecederaan di leher dipercayai akibat dikelar dalam kejadian di Kampung Tuntuluk, Penampang, hari ini.
Mangsa ditemui terbaring di dalam tandas kira-kira jam 12.30 tengah hari sebelum kejadian itu dilaporkan kepada polis lima minit kemudian.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, mangsa mengalami kecederaan di bahagian leher dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di dalam tandas tengah hari tadi.
“Ketika ditemui, mangsa tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan di bahagian leher,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, polis kini sedang mengesan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, Asisten Superintenden Hairie Awang di talian 016-8032849.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu atau membuat spekulasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta menjejaskan siasatan polis,” katanya.


