KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengumumkan tiga inisiatif utama bagi membantu meringankan beban usahawan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif itu termasuk mengambil pendekatan holistik dan berhemah bagi membantu para peniaga yang menjalankan perniagaan di kompleks beli-belah dan bangunan komersial di bawah milikan serta seliaan UDA.
“Pemberian diskaun sewa sehingga 20 peratus dengan pelaksanaan secara bersasar berdasarkan dua kategori pelaksanaan.
“Pemberian 10 peratus kepada semua penyewa dan tambahan diskaun 10 peratus secara bersasar kepada usahawan PMKS melalui Program Insentif Usahawan UDA bermula Mei sehingga Disember 2026,” katanya kenyataan hari ini.
Pada Selasa lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kadar sewa premis perniagaan milik semua agensi kerajaan Persekutuan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan UDA Holdings Bhd diturunkan mulai bulan ini bagi membantu peniaga kecil mengurangkan kos operasi.
Perdana Menteri berkata langkah itu sebahagian daripada usaha kerajaan dalam membantu peniaga dan penjaja yang turut terkesan akibat krisis bekalan global ketika ini.
“Kebanyakan kedai ini dimiliki oleh syarikat atau agensi kerajaan seperti MARA dan UDA… mulai bulan ini, kadar sewa di semua premis perniagaan mereka akan dikurangkan, dan perinciannya diumumkan mengikut daerah dalam masa terdekat,” katanya di Putrajaya .
Steven berkata, inisiatif kedua melibatkan pelaksanaan moratorium bagi memberi sokongan aliran tunai PMKS melalui pembayaran sewa bulanan yang lebih fleksibel.
“Ini termasuk kebenaran tunggakan sewa sehingga tiga bulan kepada penyewa yang terjejas berdasarkan penilaian prestasi dan keperluan operasi,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan usaha ketiga iaitu bantuan kos utiliti yang bertujuan mengurangkan kos operasi PMKS secara tidak langsung.
“Inisiatif ini melalui penangguhan kenaikan caj perkhidmatan operasi operasi kompleks di mana UDA akan menanggung kos kenaikan tersebut,” katanya.
Steven memberitahu, UDA dijangka akan menanggung kos sebanyak RM12.5 juta untuk melaksanakan segala bantuan kepada peniaga-peniaga dan usahawan PMKS.


