Aset Koperasi Wilayah Persekutuan cecah RM24.65 bilion

JUMLAH aset gerakan koperasi di Wilayah Persekutuan meningkat hampir 10 peratus kepada RM24.65 bilion pada 2025, berbanding RM22.45 bilion pada tahun sebelumnya.

Peningkatan sebanyak 9.82 peratus itu mencerminkan perkembangan berterusan sektor koperasi sebagai antara pemain penting dalam kegiatan ekonomi di Wilayah Persekutuan.

Selain pertumbuhan aset, jumlah perolehan koperasi turut meningkat 4.92 peratus kepada RM7.46 bilion pada 2025 berbanding RM7.11 bilion pada 2024.

Jumlah anggota pula meningkat 5.69 peratus kepada 2.51 juta orang, manakala jumlah syer dan yuran meningkat 1.67 peratus kepada RM9.59 bilion dalam tempoh sama.

Bilangan koperasi di Wilayah Persekutuan turut bertambah daripada 1,214 pada 2024 kepada 1,223 pada 2025.

Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, pencapaian berkenaan memperlihatkan kedudukan gerakan koperasi Wilayah Persekutuan yang kukuh.

Menurut beliau, keadaan itu turut dipengaruhi kehadiran sejumlah koperasi berskala besar yang terbabit dalam sektor perbankan, kredit dan kewangan.

“Kalau kita lihat, kebanyakan koperasi yang berjaya itu adalah koperasi yang besar dan koperasi yang nampak megah itu sebenarnya berada di Wilayah Persekutuan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Wilayah Persekutuan 2026 (MAGK’26) baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ahmad Norihan berkata, pertumbuhan kewangan perlu disertai pengurusan yang baik bagi memastikan kekuatan koperasi dapat dikekalkan dalam jangka panjang.

Katanya, prestasi koperasi tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan saiz perniagaan atau angka perolehan, sebaliknya aspek tadbir urus, pematuhan dan pengurusan risiko turut menjadi asas penting kepada kelangsungan sesebuah koperasi.

Malah katanya, kecemerlangan dalam perniagaan perlu berjalan seiring dengan pematuhan terhadap Akta Koperasi serta peraturan yang ditetapkan.

“Sesebuah koperasi yang cemerlang bukan sekadar menyesuaikan diri dengan masa depan, malah turut membentuk masa depan,” katanya.

Menurut beliau, pengurusan risiko perlu dibudayakan dalam operasi koperasi bagi melindungi modal, aset dan kepentingan anggota, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi.

Katanya, keberkesanan pengurusan risiko bergantung kepada keharmonian tiga komponen utama iaitu Anggota Lembaga Koperasi, pihak pengurusan dan anggota.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Norihan berkata, pencapaian gerakan koperasi di Wilayah Persekutuan perlu dilihat dalam konteks peranan wilayah itu sebagai pusat kegiatan ekonomi dan kewangan negara.

Menurutnya, sebahagian besar koperasi berskala besar berada di Wilayah Persekutuan berikutan kedudukan ekonominya serta kehadiran pemain utama dalam sektor kewangan dan kredit.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pencapaian itu tidak bermakna sumbangan koperasi di negeri-negeri lain kurang penting, kerana koperasi di luar Wilayah Persekutuan turut memainkan peranan besar dalam sektor pertanian, pelancongan, perkhidmatan serta borong dan runcit.

Sementara itu, sebanyak 55 koperasi menerima pengiktirafan pada MAGK’26 yang terdiri daripada 50 koperasi terbaik, dua Koperasi Premier dan tiga penerima Anugerah Khas.

Pengiktirafan itu dinilai berdasarkan faktor kewangan dan bukan kewangan, termasuk pencapaian perolehan, pemilikan aset dan pengurusan kewangan selain pematuhan perundangan, tadbir urus serta sumbangan koperasi kepada anggota.

Ahmad Norihan berkata pertumbuhan yang dicapai perlu diterjemahkan kepada manfaat lebih besar kepada anggota dan tidak sekadar menjadikan koperasi sebagai entiti perniagaan yang mengejar keuntungan.

“Segala kejayaan, saiz kluster dan angka perolehan tidak akan memberi makna jika kita tersasar daripada matlamat utamanya iaitu untuk membela kebajikan dan memfokuskan kepada kepentingan anggota.

“Koperasi wujud dari anggota, oleh anggota dan untuk anggota,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here