SEORANG lelaki yang dipercayai mencetuskan provokasi mengajak pengunjung sambutan Hari Kebangsaan 2026 merempuh pagar tempat duduk di Dataran Putrajaya pada awal pagi 31 Ogos lalu akhirnya ditahan polis bagi membantu siasatan.
Lelaki berusia 30 tahun itu yang dipercayai seorang tukang masak ditahan di Putrajaya tengah hari semalam, selepas lima laporan polis telah dibuat terhadapnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu yang tular dalam media sosial, lelaki berkenaan dipercayai mencetuskan provokasi sehingga menyebabkan orang ramai yang berada berhampirannya merempuh barisan hadapan untuk berebut tempat duduk di Dataran Putrajaya.
Berikutan situasi tidak terkawal itu, beberapa pengunjung dilaporkan mengalami kecederaan selepas terjatuh akibat ditolak.
Suspek direman sehari bagi membantu siasatan berhubung insiden tersebut.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media hari ini.
“Suspek direman sehari bermula hari ini,” katanya ringkas.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan penahanan suspek untuk siasatan lanjut.
“Ya kita telah menahan lelaki berbaju oren ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya hari ini.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan. Lelaki berkenaan juga sebelum ini diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bagi membantu siasatan.
Terdahulu tular video seorang lelaki berbaju oren mencetuskan provokasi yang dimuat naik dalam laman sosial Threads dan Facebook berdurasi 2 minit 18 saat, memaparkan seorang lelaki berbaju oren dipercayai telah membuat provokasi serta merempuh dan menolak orang awam yang sedang menunggu pembukaan pagar tempat duduk sehingga berlaku tolak-menolak dan beberapa individu terjatuh.
Difahamkan, suspek bersuara lantang mengajak orang ramai merempuh pagar, walaupun rata-rata pengunjung sanggup menunggu pintu pagar itu dibuka jam 7 pagi.





