Atomy Malaysia akan buat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tolak saman fitnah terhadap Firdaus Wong

ATOMY Malaysia berkata pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah terhadap penceramah bebas Firdaus Wong berkaitan dakwaan syarikat itu terlibat dalam kegiatan kristianisasi..

Dalam kenyataan hari ini, pasukan pengurusan syarikat itu menegaskan mahkamah tidak membuat sebarang dapatan fakta bahawa Atomy Malaysia atau Atomy Co Ltd Korea terlibat dalam aktiviti kristianisasi atau apa-apa aktiviti yang tidak wajar, lapor Malaysiakini.

“Dakwaan bahawa Mahkamah Tinggi memutuskan Atomy Co Ltd Korea terlibat dalam aktiviti kristianisasi adalah tidak benar. Isu tersebut tidak pernah dibawa ke hadapan mahkamah dan mahkamah tidak membuat sebarang dapatan sedemikian.

“Keputusan Mahkamah Tinggi adalah berdasarkan sepenuhnya kepada pemakaian pembelaan undang-undang tertentu, dan tidak merupakan suatu penentuan kehakiman bahawa dakwaan Kristianisasi atau salah laku tersebut adalah benar.

“Sebarang kenyataan yang menyatakan sebaliknya adalah tidak tepat dan mengelirukan, serta menyalahgambarkan keputusan mahkamah,” kata Atomy Malaysia yang merujuk beberapa kenyataan dalam talian yang didakwa bersifat memfitnah.

Menurut syarikat itu lagi, pihaknya kekal komited terhadap amalan perniagaan yang sah di sisi undang-undang, beretika dan telus.

“Pihak syarikat menasihatkan orang ramai supaya hanya bergantung kepada maklumat yang tepat dan dikeluarkan melalui saluran rasmi Atomy Malaysia, serta menahan diri daripada menyebarkan tafsiran yang mengelirukan terhadap keputusan mahkamah,” kata syarikat itu lagi.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img