PUSAT Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) tidak lagi mahu dilihat sekadar tempat mendapatkan akses Internet.
Sebaliknya, NADI kini sedang beralih menjadi pusat pembangunan komuniti yang menawarkan pendidikan, kemahiran, keusahawanan, kesihatan, keselamatan digital dan akses kepada pelbagai inisiatif kerajaan.
Ketua Pejabat NADI MCMC, Dr. Mohd Arif Adenan, berkata transformasi itu penting bagi memastikan NADI terus relevan dalam persekitaran digital yang berkembang pantas.
Katanya, NADI melalui beberapa evolusi dan penjenamaan sejak 2007, termasuk Pusat Internet Komuniti, Pusat Internet Desa dan Pusat Ekonomi Digital sebelum dijenamakan semula sebagai NADI pada 2024.
“Ini bukan sekadar bertukar nama. NADI telah berubah fungsi daripada hanya menyediakan akses Internet kepada masyarakat kepada perkhidmatan yang lebih relevan,” katanya wawancara bersama Media.
Dr. Mohd Arif berkata, perubahan itu berlaku apabila akses Internet tidak lagi menjadi sesuatu yang sukar diperoleh.
“Kalau dulu orang terpaksa pergi ke cyber cafe untuk mendapatkan Internet, sekarang dengan handphone pun kita sudah ada Internet. Jadi apa keperluan pusat Internet ini?” katanya.
Beliau berkata, persoalan itu menjadi asas kepada pengenalan Perkhidmatan Pintar NADI yang berteraskan lima pilar utama iaitu keusahawanan, pendidikan sepanjang hayat, kesihatan dan kesejahteraan, kesedaran serta inisiatif kerajaan.
”Dalam pendidikan, NADI menyediakan Tuisyen Rakyat secara percuma, manakala NADI Mahir menawarkan latihan dalam bidang fotografi, jahitan, masakan, membaiki gajet dan pertanian pintar.
”NADI turut memasuki bidang kecerdasan buatan (AI) menerusi latihan Prompt Engineering, selain memainkan peranan dalam advokasi Internet selamat dan pemeriksaan asas kesihatan,’’ katanya.
Setakat ini, kata beliau terdapat 1,099 pusat NADI beroperasi di seluruh negara.
”Peranan baharu itu turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila NADI diterima sebagai pusat ke-16 dalam rangkaian Digital Transformation Centres (DTC) di bawah International TelecommunicationUnion (ITU), selain menerima pengiktirafan dalam bidang pembangunan kapasiti.
“Hasrat kita adalah melihat NADI berkembang daripada sekadar pusat Internet kepada pusat pembangunan komuniti,” katanya.





