AGARTECH Ventures Sdn. Bhd. (AVSB) komited membangunkan industri gaharu tempatan menerusi penyelidikan, inovasi dan pengeluaran benih pokok karas hibrid MyKynam bagi meletakkan Malaysia sebagai hab industri cip kayu dan gaharu premium bertaraf dunia.
Pengerusi AVSB, Datuk Hishamuddin Abdul Karim berkata, syarikat itu menyasarkan pengeluaran sehingga 1 juta benih pokok karas hibrid setahun, sekali gus memperkukuh pembangunan industri gaharu negara untuk pasaran global.
Menurut beliau, ketika ini AVSB menghasilkan kira-kira 600,000 benih setahun yang dibangunkan di dua tapak semaian seluas 5.26 hektar di Lendu, Melaka.
“Hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan sejak 2017 berjaya menghasilkan 24 varieti karas hibrid, termasuk kacukan spesies Aquilaria malaccensis dengan karas Kynam dari China yang menghasilkan varieti MyKynam,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, pokok karas MyKynam menghasilkan teras dan resin premium organik yang mendapat permintaan tinggi daripada pasaran antarabangsa termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Australia, negara Arab dan Eropah.
Berdasarkan rekod jualan semasa yang mencecah kira-kira AS$12 bilion setahun di pasaran global, beliau yakin MyKynam berpotensi menjadi komoditi baharu bernilai tinggi yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara jika diusahakan secara berjadual dan berskala besar.
Bagaimanapun, katanya, pembangunan industri gaharu negara memerlukan sokongan menyeluruh kerajaan, termasuk penglibatan agensi berkaitan, pemain industri, institusi penyelidikan dan akademia serta usaha meningkatkan kesedaran masyarakat menerusi media.
Antara institusi yang dikenal pasti memainkan peranan penting ialah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dalam aspek pembangunan kapasiti industri, manakala Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) menyokong pengukuhan penyelidikan, inovasi dan pembangunan modal insan.
Di pihak AVSB, syarikat itu akan terus memberi tumpuan kepada aktiviti R&D, pengeluaran benih hibrid, pembangunan ladang komersial, pemindahan teknologi serta pembangunan modal insan bagi memperkukuh ekosistem industri gaharu negara.
Menurut Hishamuddin, Malaysia mempunyai kelebihan kompetitif untuk muncul sebagai peneraju industri gaharu baharu berikutan faktor iklim tropika dan tanah yang sesuai, sistem logistik yang baik, kepakaran R&D yang semakin berkembang, modal insan berkualiti serta kedudukan strategik untuk menembusi pasaran global.






