JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang melakar kejayaan bermakna di laman sendiri apabila muncul juara acara keirin pada saingan Piala Dunia Trek UCI 2026 di Velodrom Nasional di Nilai, malam ini.
Di hadapan ribuan penyokong tempatan, Azizulhasni mempamerkan kayuhan penuh taktikal apabila berjaya melepaskan diri daripada kepungan pelumba lain sebelum melakukan henjutan bertenaga di penghujung perlumbaan untuk melintasi garisan penamat sebagai pemenang.
Pelumba berusia 38 tahun yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman itu menewaskan juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua, manakala pelumba Trinidad & Tobago, Nicolas Paul melengkapkan kedudukan podium, lapor Buletin TV3.
Kejayaan itu menjadi kemenangan kedua Azizulhasni dalam siri Piala Dunia musim ini selepas turut menjuarai saingan pembukaan di Perth, Australia pada Mac lalu.
Lebih manis, kejayaan di Nilai itu hadir dengan nilai sentimental tersendiri apabila ia berkemungkinan menjadi penampilan terakhirnya di laman sendiri dalam kejohanan antarabangsa.


