POLIS menahan seorang individu dikenali sebagai ‘Imran Koyube’ yang dipercayai terlibat dalam beberapa kes penipuan di Selangor dan beberapa negeri lain, kelmarin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek kini direman selama empat hari sehingga 28 April depan untuk membantu siasatan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor.
“Difahamkan, lelaki ini juga terlibat dalam kes penipuan di beberapa negeri lain dan Polis Selangor akan bekerjasama dengan kontinjen terbabit.
“Di Selangor setakat ini ada satu kes yang diterima dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita selepas program Larian Diraja Selangor Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Masyarakat di Elmina Lake Side Mall di Shah Alam hari ini.
Menurut Shazeli, jumlah kerugian dan modus operandi yang melibatkan suspek masih dalam siasatan.
Beliau turut meminta orang ramai memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita mendakwa identitinya terus digunakan untuk urusan hutang oleh suspek yang juga bekas suaminya tanpa pengetahuan.
Kes penipuan melibatkan individu terbabit turut mendapat perhatian selepas pendedahan tular di media sosial.
Menerusi hantaran tersebut, suspek didakwa pernah terlibat dalam kegiatan penipuan sebelum ini sebelum kembali aktif menggunakan identiti dan nama agensi berbeza.


