BAM kenang jasa Dr Siti Hasmah sebagai Penaung lebih dua dekad

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali atas pemergian tokoh yang pernah menjadi penaung persatuan itu selama lebih dua dekad.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, BAM berkata, Allahyarham memainkan peranan penting sebagai Penaung BAM sehingga 2007, termasuk ketika Malaysia mencipta sejarah menjulang Piala Thomas 1992.

Menurut BAM, jasa, sokongan dan kasih sayang Allahyarham terhadap pembangunan sukan badminton negara akan sentiasa dikenang oleh persatuan serta seluruh warga badminton Malaysia.

“Tun Dr Siti Hasmah berkhidmat sebagai Penaung BAM selama lebih dua dekad sehingga tahun 2007, termasuk ketika kejayaan bersejarah Malaysia menjuarai Piala Thomas 1992.

“Kehangatan peribadi, sokongan dan kecintaan beliau terhadap badminton Malaysia akan sentiasa dikenang dan dihargai oleh BAM serta komuniti badminton negara,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan sama, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersama barisan Majlis BAM, pengurusan, jurulatih, pemain dan kakitangan turut menzahirkan rasa dukacita di atas pemergian Allahyarham.

BAM turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan insan tersayang Allahyarham dalam menghadapi saat yang penuh kesedihan itu.

Persatuan berkenaan mendoakan agar Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan insan yang beriman dan beramal soleh.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan keberkatan ke atas roh Allahyarham serta menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang soleh.

“Semoga keluarga diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi waktu yang sukar ini,” menurut kenyataan itu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here