SEBANYAK 522 mangsa daripada 233 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan banjir di Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang, Banting, setakat pukul 7 malam ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, jumlah itu berdasarkan data bancian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Angka itu membabitkan seramai 296 lelaki, wanita (226), kanak-kanak lelaki (69), kanak-kanak perempuan (67), bayi lelaki (1) dan bayi perempuan (8).
“Ia diikuti lelaki warga emas (12), wanita warga emas (13), lelaki dan wanita Orang Kurang Upaya (OKU) (17),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashrul Riezal berkata, trend air meningkat menjelang petang iaitu antara 0.6 hingga 1.2 meter, berbanding pada pagi.
Katanya, operasi penyelamatan dilaksana 15 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting, KLIA dan Dengkil.
Terdahulu, media melaporkan berlaku kejadian ban pecah pada awal pagi tadi yang mengakibatkan 32 rumah di Taman Langat Utama 2 terjejas banjir.






