Banjir di Bangkok: Kedutaan Malaysia salur bantuan kepada rakyat terjejas

KEDUTAAN Besar Malaysia di Bangkok sedang mengambil langkah membantu beberapa rakyat Malaysia yang terkesan akibat banjir di beberapa kawasan sekitar Bangkok, Thailand.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan, kedutaan turut berhubung dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai keadaan banjir dan keselamatan rakyat Malaysia di kawasan terlibat.

KEADAAN banjir di bandar raya Bangkok. GAMBAR: Bernama

“Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok mengesahkan bahawa beberapa orang rakyat Malaysia telah terjejas akibat banjir tersebut.

“Pihak Kedutaan sedang memberikan sokongan serta bantuan yang sewajarnya kepada mereka yang terjejas dan kekal berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk memantau perkembangan semasa,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar Negeri turut menzahirkan simpati kepada semua pihak yang terkesan akibat bencana alam berkenaan.

Rakyat Malaysia yang berada atau menetap di Bangkok diminta meningkatkan tahap kewaspadaan serta mematuhi segala arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa Thailand.

Bagi mereka yang mempunyai penerbangan melalui Lapangan Terbang Suvarnabhumi, kementerian menasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal dan memperuntukkan masa tambahan berikutan kemungkinan kesesakan atau kelewatan di laluan menuju ke lapangan terbang.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang masih belum mendaftarkan keberadaan mereka di Thailand digesa berbuat demikian melalui sistem e-Konsular bagi memudahkan pihak kedutaan menghubungi serta membantu sekiranya berlaku kecemasan.

Mereka yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai maklumat mengenai rakyat Malaysia lain yang mungkin terjejas boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok di talian +66 2 340 5720, +66 2 340 5731 atau +66 87 028 4659.

Maklumat juga boleh disalurkan menerusi e-mel mwbangkok@kln.gov.my.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here