EMPAT lelaki warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas sebuah premis hiburan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur diserbu dalam operasi awal pagi semalam.
Operasi yang dijalankan kira-kira jam 12.05 tengah malam itu menyaksikan tiga lelaki warga China dan seorang warga Filipina ditahan kerana dipercayai bekerja di premis berkenaan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi dilakukan hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama kira-kira sebulan.
Menurutnya, operasi berkenaan turut membabitkan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Lumpur, dengan pasukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya ditugaskan menjalankan serbuan.
“Siasatan awal mendapati premis yang beroperasi sejak tahun lalu itu menawarkan hiburan dan persembahan tarian oleh warga asing membabitkan golongan ‘sejenis’.
“Premis berkenaan menyasarkan pelanggan dalam kalangan warga tempatan dan asing, dengan bayaran dikenakan antara RM53 hingga RM700 bergantung kepada minuman serta tempahan meja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, keempat-empat lelaki yang ditahan berusia antara 21 hingga 31 tahun.
Hasil pemeriksaan awal turut mendapati mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di Malaysia.
“Mereka ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 sebelum dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
“Dalam operasi sama, tiga lelaki warga tempatan turut diberikan notis supaya hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, JIM akan meneruskan operasi penguatkuasaan secara berterusan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi memastikan aktiviti yang melanggar undang-undang dapat dibanteras.




