Sultan Selangor bertindak sebagai kuasa semak, imbang bukan sekadar ‘rubber stamp’

AHLI-Ahli Dewan di-Raja Selangor menyangkal dakwaan segelintir pemimpin politik yang mendakwa titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Menerusi satu kenyataan rasmi, Dewan di-Raja Selangor menegaskan titah baginda sempena pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 20 April lalu adalah selari dengan konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.

”Sultan Selangor tidak mahu bertindak sebagai “rubber stamp” atau sekadar formaliti dalam melaksanakan fungsi Baginda sebagai Sultan. D.Y.M.M Sultan bertindak sebagai satu kuasa semak dan imbang “check and balance” terhadap pihak eksekutif untuk memastikan kepentingan rakyat sentiasa terjaga dan terpelihara,’’ kata dewan itu.

Berikut kenyataan penuh Dewan di-Raja Selangor:

Kenyataan ini dikeluarkan bagi menyangkal pandangan serong dan negatif daripada sebahagian pemimpin politik dan pihak-pihak tertentu yang menganggap Titah D.Y.M.M. Sultan Selangor sempena Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Persidangan Penggal Keempat Dewan negeri Selangor ke 15 pada 20 April 2026, telah mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Negeri dan telah melanggar konsep Raja Berperlembagaan  yang diamalkan di negara ini.

Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor ingin memperbetulkan persepsi salah ini dan menegaskan bahawa Titah D.Y.M.M. Sultan adalah selari dengan peranan seorang Raja di dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan, (Titah adalah penggunaan bahasa “Istana” untuk ucapan seorang Raja atau Sultan yang bermaksud nasihat di dalam bahasa standard atau harian).

Titah D.Y.M.M. Sultan adalah bagi memastikan segala tindakan Kerajaan Negeri bertepatan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat dalam pemerintahannya.

Di dalam konteks negeri Selangor, YAB Menteri Besar Selangor dikehendaki berunding dengan D.Y.M.M. Sultan di dalam segala hal ehwal pentadbiran Kerajaan Negeri yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat.

Rundingan membawa maksud bahawa D.Y.M.M. Sultan mempunyai hak untuk diberi sembah maklum oleh YAB Menteri Besar mengenai urusan pentadbiran negeri bagi membolehkan Baginda Sultan mengetahui apa yang berlaku disamping memberi nasihat sebelum sesuatu keputusan mengenainya dimuktamadkan.

Pandangan dan nasihat D.Y.M.M. Sultan berdasarkan kepentingan rakyat tanpa dipengaruhi oleh kepentingan politik. Sebarang nasihat, teguran dan peringatan oleh D.Y.M.M. Sultan Selangor adalah merupakan nasihat dan teguran penting dari seorang Raja bagi memastikan pentadbiran negeri dijalankan dengan penuh tanggungjawab. D.Y.M.M. Sultan sering menitikberatkan tindakan yang efektif dan bukan janji-janji kosong dalam menyelesaikan masalah rakyat bersesuaian dengan peranan Baginda Sultan sebagai Ketua Negeri.

Malah Ahli Dewan di-Raja mendapat maklum bahawa D.Y.M.M. Sultan Selangor kerap menerima aduan dari rakyat tentang masalah yang melibatkan banjir, kutipan sampah, jalan berlubang serta banyak lagi masalah lain yang berkaitan dengan rakyat.

Aduan-aduan yang disampaikan kepada Baginda Sultan oleh pengadu bukan merupakan surat layang kerana pengadu menyertakan nama, alamat dan no. telefon mereka bagi membuktikan bahawa mereka benar-benar terdesak mahukan Baginda Tuanku menegur Kerajaan Negeri atas kesulitan dan masalah yang mereka hadapi.

Berdasarkan prinsip Raja Berperlembagaan, D.Y.M.M. Sultan Selangor tidak mahu bertindak sebagai “rubber stamp” atau sekadar formaliti dalam melaksanakan fungsi Baginda sebagai Sultan. D.Y.M.M. Sultan bertindak sebagai satu kuasa semak dan imbang “check and balance” terhadap pihak eksekutif untuk memastikan kepentingan rakyat sentiasa terjaga dan terpelihara.

Ahli-ahli Dewan di-Raja yakin D.Y.M.M. Sultan yang mempunyai pengalaman memerintah selama tempoh 25 tahun sebagai Sultan Selangor dan 33 tahun sebagai Raja Muda Selangor, amat memahami dan mendalami peranan Baginda mengikut undang-undang selaras dengan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img