Bantuan untuk masyarakat India bukan melalui MITRA sahaja – Anwar

BANTUAN kerajaan kepada masyarakat India tidak terhad menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), sebaliknya turut disalurkan melalui pelbagai inisiatif meliputi kebajikan, pendidikan, keusahawanan dan pembangunan sosial.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara bantuan berkenaan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), pembiayaan perniagaan melalui TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia, selain peruntukan bagi pembangunan sekolah Tamil serta rumah ibadat.

“Kadang-kadang orang ingat untuk bantuan masyarakat India ini hanya MITRA, sedangkan ada STR, Amanah Ikhtiar, TEKUN (Nasional) … ini semua juga sebahagian daripada bantuan yang kita sediakan.

“Adakah ini cukup? Belum cukup… itu saya setuju tetapi kita tambah perlahan-lahan… kita bincang dengan baik di mana dulu tidak ada, tapi kita tambah yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa meninjau Bazar Mega Deepavali 2026 Brickfields di Kuala Lumpur hari ini, lapor Bernama.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan; Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan tahunan MITRA yang berjumlah RM100 juta sejak 2008 ditingkatkan kepada RM150 juta, iaitu kenaikan sebanyak 50 peratus.

Menurutnya, keutamaan diberikan kepada program latihan kemahiran dan penyediaan peluang pekerjaan untuk golongan muda, khususnya dalam bidang automasi industri, teknologi serta penyelenggaraan pesawat.

Kerajaan turut memperluas kemudahan pembiayaan menerusi TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia dengan tambahan RM150 juta bagi membantu usahawan dalam kalangan masyarakat India.

Dalam bidang pendidikan, peruntukan bagi kerja membaik pulih dan menyelenggara Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) ditingkatkan kepada RM50 juta, dengan keutamaan diberikan kepada sekolah daif serta memerlukan perhatian.

Anwar berkata, kerajaan turut merancang pembinaan semula sepenuhnya SJKT Ladang Pamol di Kluang, Johor, selain menambah enam SJKT baharu termasuk di Sungai Bakap, Pulau Pinang dan Klebang, Perak.

Selain itu, peruntukan bagi penyelenggaraan dan pembangunan rumah ibadat berdaftar akan ditingkatkan kepada RM80 juta tahun depan berbanding RM50 juta setahun sejak 2021.

“Dulu pun ada bantuan ini tetapi di bawah Kerajaan MADANI, ia ditambah secara berperingkat menerusi perbincangan dan penelitian terhadap keperluan masyarakat,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here