STR Fasa 4: RM1.1 bilion mula disalur hari ini untuk semua kaum – PM

PEMBAYARAN Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 membabitkan peruntukan RM1.1 bilion mula disalurkan hari ini kepada lebih lima juta penerima di seluruh negara bagi membantu meringankan beban rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembayaran yang berlangsung sehingga 6 November ini dibuat bersempena sambutan Deepavali dan melibatkan penerima daripada pelbagai kaum tanpa mengira latar belakang.

Beliau berkata, bantuan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, terus menjadi keutamaan.

“Jadi, saya umumkan sempena Deepavali, mulai hari ini sampai 6 November, STR sebanyak RM1.1 bilion akan diberi kepada lebih lima juta rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa meninjau Bazar Mega Deepavali 2026 Brickfields di Kuala Lumpur hari ini, lapor Bernama.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan serta Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, bantuan STR tidak tertumpu kepada kaum tertentu, sebaliknya terbuka kepada semua rakyat yang memenuhi syarat kelayakan.

Menurutnya, masyarakat India turut menerima manfaat menerusi inisiatif berkenaan dengan lebih 630,000 penerima, bersamaan 7.4 peratus daripada keseluruhan penerima STR di seluruh negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, peruntukan bantuan tunai kerajaan meningkat daripada RM6 bilion menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 2018 kepada RM8 bilion menerusi Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) pada 2022.

Jumlah itu kemudian meningkat kepada RM15 bilion bagi peruntukan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada 2026, sebelum dinaikkan kepada RM16 bilion menerusi Belanjawan 2027.

Anwar berkata, peningkatan peruntukan berkenaan membuktikan kesungguhan kerajaan memperkukuh jaringan perlindungan sosial dan memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan.

“Jadi, boleh banding. Boleh ucap terima kasih. Ada orang kata dulu pun ada. Betul. Dulu berapa? RM6 bilion. Sekarang berapa? RM16 bilion kepada rakyat, terutama masyarakat terbawah,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here