Barcelona sah juara La Liga selepas jinakkan Real Madrid

BARCELONA mengesahkan status sebagai juara La Liga musim ini selepas menundukkan pencabar utama, Real Madrid 2-0 dalam aksi El Clasico di Camp Nou, awal pagi tadi.

Kejayaan itu membolehkan skuad kendalian Hansi Flick mempertahankan kejuaraan liga buat musim kedua berturut-turut selain menghadiahkan trofi La Liga ke-29 kepada kelab gergasi Catalan tersebut.

Marcus Rashford dan Ferran Torres muncul watak penting apabila masing-masing menjaringkan gol pada babak pertama untuk memastikan kemenangan bergaya Barca di depan penyokong sendiri.

Tambahan tiga mata itu menyaksikan Barcelona kini selesa dengan kelebihan 14 mata berbanding Madrid di tangga kedua walaupun saingan hanya berbaki tiga perlawanan lagi.

Ia juga menjadi detik bersejarah apabila penentuan juara liga menerusi perlawanan El Clasico hanya berlaku buat kali kedua dalam sejarah bola sepak Sepanyol sejak musim 1932.

Walaupun masih dibayangi kekecewaan selepas tersingkir di suku akhir Liga Juara-Juara kepada Atletico Madrid bulan lalu, Barca tetap mempamerkan aksi dominan sepanjang perlawanan.

Menurut pemain tengah Barcelona, Frenkie de Jong, kejayaan menewaskan musuh tradisi menjadikan gelaran kali ini lebih bermakna.

“Sudah tentu ini satu perasaan yang istimewa kerana kami mengesahkan kejuaraan dengan mengalahkan Madrid di stadium sendiri.

“Kami mahu menikmati saat ini bersama penyokong dan selepas ini fokus kami adalah untuk memburu Liga Juara-Juara musim depan,” katanya.

Menjelang perlawanan, kem Real Madrid dilaporkan bergelora apabila Federico Valverde tidak dapat diturunkan akibat kecederaan kepala selepas terbabit dalam insiden pergaduhan ketika latihan bersama rakan sepasukan, Aurelien Tchouameni.

Dalam masa sama, Flick turut berdepan ujian peribadi apabila kehilangan bapanya sebelum sepak mula, namun beliau tetap mengemudi pasukan dari kawasan teknikal.

“Hari ini bukan hari yang mudah untuk saya. Namun saya bangga melihat semangat juang pemain yang tidak pernah mengalah,” ujar pengendali dari Jerman itu.

Ketiadaan bintang muda, Lamine Yamal akibat kecederaan membuka ruang buat Rashford beraksi di bahagian sayap kanan dan keputusan itu nyata memberi impak besar.

Barcelona yang hanya memerlukan keputusan seri untuk menjulang trofi terus mengasak sejak awal dan berjaya memperoleh dua gol dalam tempoh 18 minit pertama permainan.

Rashford memecah kebuntuan menerusi sepakan percuma menarik dari luar kotak penalti sebelum Ferran Torres menggandakan jaringan hasil gerakan tersusun yang dimulakan Dani Olmo.

Sementara itu, jurulatih Madrid, Alvaro Arbeloa mengakui pasukannya perlu menerima hakikat musim hambar tanpa sebarang trofi.

“Kami tahu penyokong kecewa. Apa yang penting sekarang ialah memperbaiki kelemahan dan memastikan kesilapan sama tidak berulang,” katanya.

Barcelona kini berpeluang menutup musim dengan kutipan 100 mata, manakala Madrid dijangka melakukan perubahan besar selepas gagal memenangi trofi utama dalam dua musim berturut-turut.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img