Bekas pengurus pentadbiran Melaka Halal Hub didakwa dua pertuduhan terima suapan

BEKAS Pengurus Pentadbiran Melaka Halal Hub didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan komisen insurans syarikat bernilai lebih RM2,000, empat tahun lalu.

Tertuduh, Erwan Abdul Aziz bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia sebagai penjawat awam iaitu Pengurus Pentadbiran Melaka Halal Hub Sdn Bhd (MHHSB) didakwa menggunakan jawatannya menerima suapan komisen RM1,096.57.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sebagai balasan, mencadangkan sebut harga syarikat milik isterinya yang dilantik ejen insurans bagi pembelian insurans kebakaran MHHSB bernilai premium RM7,310.48 untuk perlindungan bernilai RM6 juta.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama dengan menerima suapan komisen RM1,102.20.

Kedua-dua kesalahan itu masing-masing didakwa dilakukan pada 27 September 2022 dan 27 September 2023 di Pejabat MHHSB di Jasin yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Syakila Yaacob dan Noor Juliana Yahaya yang menawarkan jaminan RM20,000 bagi dua pertuduhan, selain syarat tambahan.

Erwan yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ishak Mohd Kari merayu jaminan rendah dengan alasan kini bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu, selain menanggung keluarga termasuk menjaga ibu mentua pesakit kanser serta adik ipar dan anak masih bersekolah.

Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri kepada SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai, selain menetapkan sebutan semula kes pada 14 Mei depan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img