PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) menegaskan siasatan berkaitan dakwaan konspirasi menjatuhkan kerajaan tidak wajar dipolitikkan, sebaliknya perlu dilihat sebagai proses perundangan yang wajib dilaksanakan pihak berkuasa.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, apabila laporan dibuat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk menyiasat dan kewajipan itu tidak boleh dianggap sebagai usaha menutup mulut pengkritik.
Beliau berkata, tindakan siasatan itu adalah selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan bukan suatu tindakan politik.
“MCW juga mengambil maklum laporan polis yang telah dibuat oleh seorang individu yang menyatakan wujudnya perbincangan dengan pihak luar negara termasuk firma komunikasi strategik antarabangsa bagi tujuan memberi tekanan media terhadap kepimpinan negara dan SPRM .
“Dakwaan ini, sekiranya benar, adalah serius dan memerlukan penelitian rapi oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Jais berkata, pendirian MCW adalah jelas bahawa siasatan polis tidak wajar dipolitikkan kerana PDRM hanya melaksanakan tanggungjawab undang-undang, bukan menutup mulut pengkritik.
“Sekiranya benar wujud usaha menggunakan saluran media antarabangsa dan lobi luar negara untuk mempengaruhi proses perundangan domestik, maka ini bukan lagi soal kebebasan bersuara tetapi soal kedaulatan negara dan integriti sistem penguatkuasaan.
“Selain itu, MCW sentiasa mempertahankan hak rakyat untuk mengkritik kerajaan dan agensi penguatkuasaan.
“Namun, perbezaan mesti dibuat antara kritikan berasaskan fakta dan proses undang-undang dan usaha terancang membabitkan pihak asing untuk mempengaruhi atau menjatuhkan institusi negara,” katanya.
Jais berkata, sebahagian tekanan ke atas SPRM baru-baru ini, dipercayai berkait dengan naratif yang sedang dibina di luar sistem perundangan negara.
“Justeru, kita menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada PDRM melengkapkan siasatan tanpa spekulasi, sebagaimana dinasihatkan dalam kenyataan rasmi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, tiada pihak sama ada dari dalam atau luar negara harus memanipulasi naratif bagi melemahkan institusi negara demi kepentingan peribadi.
“Jika ada salah laku, siasat dan dakwa. Jika tiada bukti kukuh, bersihkan nama secara adil. Tekanan media atau persepsi awam tidak boleh menggantikan proses pembuktian di mahkamah,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, satu konspirasi terancang membabitkan penggunaan ejen pelobi asing dan agensi media gergasi antarabangsa terbongkar menerusi pendedahan dokumen sulit yang dikaitkan dengan keluarga tokoh berpengaruh.


