SEORANG wanita membawa anak bongsunya keluar rumah bagi menjemput anak lain pulang dari sekolah mengundang padah apabila dia dibelasah suami di Jalan Kubang Siput, Arau, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, mangsa yang bekerja sebagai peniaga cendol ditarik rambut, kepalanya ditekan ke lantai selain ditumbuk di belakang pinggang dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek berusia 39 tahun yang baru bangun tidur secara tiba-tiba mengamuk dan menghalang isterinya daripada membawa anak mereka berusia empat tahun untuk menjemput anak yang lain pulang dari sekolah.
“Disebabkan bimbang sekiranya penganggur terbabit melakukan perkara di luar jangkaan terhadap kanak-kanak itu, mangsa berkeras mahu membawa anaknya bersama.
“Tindakan itu mencetuskan pertengkaran mulut sebelum suspek bertindak kasar mencederakan mangsa.
“Mangsa yang mengalami kesukaran bernafas dan trauma kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ahmad Mohsin berkata, mangsa berusia 40 tahun itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, laporan penuh pegawai perubatan mengesahkan mangsa tidak mengalami keretakan tulang belakang seperti yang disyaki pada awalnya, sebaliknya mengalami kecederaan tisu lembut.
“Mangsa juga mengadu sakit di jari dan kaki selain terdapat kesan kemerahan pada hidungnya.
“Siasatan lanjut mendedahkan mangsa sering dipukul dan menjadi mangsa amukan suspek berikutan masalah ketagihan dadah yang dialami lelaki itu sejak mereka mendirikan rumah tangga pada 2005.
“Walaupun mangsa sebelum ini beberapa kali membuat laporan polis berkaitan keganasan rumah tangga, suspek tidak serik dan terus menderanya biarpun berpunca daripada hal kecil, selain mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah,” katanya.
Susulan laporan itu, polis menahan suspek ketika lelaki berkenaan hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, kelmarin.
Ahmad Mohsin berkata, semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah serta kes mendatangkan kecederaan.
“Suspek kini direman enam hari sehingga 23 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan parah,” katanya.






