SEORANG bayi perempuan ditemukan dalam kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa, dekat Tawau, pagi tadi.
Bayi itu ditemukan oleh seorang lelaki kira-kira jam 6 pagi sebelum dibawa ke Hospital Tawau bagi mendapatkan rawatan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung penemuan bayi berkenaan.
Menurutnya, siasatan sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti ibu kandung bayi itu serta individu yang bertanggungjawab meninggalkannya.
“Polis turut mengesan saksi-saksi kejadian selain mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak polis juga sedang membuat semakan dengan Hospital Tawau dan beberapa klinik kesihatan di daerah ini bagi membantu mengenal pasti identiti ibu bayi berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri di talian 016-918 9402 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.






