PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh memecat beliau dan menteri BB lain kalau tidak menyukai mereka.
Katanya, beliau tidak nampak sebarang sebab untuk mana-mana daripada lapan menteri BN meletak jawatan, selepas Anwar menegaskan mereka yang menyerang rakan dalam kerajaan semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan harus berundur.
“Perdana Menteri telah beri amaran siapa sebut menteri lain atau kementerian lain sila letak jawatan. Itu arahan dia tapi saya jawab tak payah suruh letak jawatan sebab yang melantik menteri dan timbalan itu dia.
“Kalau dia tak suka, pecat sahaja lah. Tapi takkan sampai hati nak pecat? Kami semua bekerja dengan kuat,” kata beliau.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada majlis bersama kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Sembilan di Seremban, hari ni, lapor FMT.
Ahad lalu, Anwar memberi amaran mana-mana menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan ketika berkempen pada PRN.
Kata Perdana Menteri, pihak yang melakukan perkara berkenaan harus berundur daripada jawatan.
Ketika ini lapan pemimpin BN berada dalam Kabinet iaitu Ahmad Zahid (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah), Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan (Kementerian Luar Negeri), serta Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Ghani (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Kementerian Pertahanan).
Begitu juga Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir (Kementerian Pendidikan tinggi), Azalina Othman Said (Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi), Arthur Joseph Kurup (Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam) dan Datuk Seri Noraini Ahmad (Kementerian Perladangan dan Komoditi).






