MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Dr Zulkifli Hassan menyeru umat Islam menggunakan media sosial bagi memberikan tekanan kepada rejim Zionis membebaskan Dr. Hussam Abu Safiya, seorang pakar pediatrik di Gaza.
Melalui Facebook beliau, Dr.Zulkifli berkata, Dr.Husam menjadi simbol ketabahan luar biasa selepas memilih untuk kekal bertahan demi merawat bayi dan kanak-kanak di tengah-tengah pergolakan yang meruncing.
‘’Walaupun berdepan ancaman nyawa dan kebuluran, beliau enggan meninggalkan pesakit kecilnya yang amat memerlukan pertolongan,’’ katanya.
Lebih menyayat hati kata Dr.Zulkifli sebelum ditahan secara zalim, Dr. Hussam diuji dengan kehilangan anak lelakinya yang berusia 15 tahun yang telah syahid, namun beliau tetap cekal meneruskan tugas kemanusiaannya demi kelangsungan hidup anak-anak Gaza.
‘’Kini, beliau dilaporkan telah ditahan secara sewenang-wenangnya selama 530 hari tanpa sebarang pertuduhan sah,’’ katanya.
Kata beliau, badan-badan kemanusiaan antarabangsa seperti PBB, WHO, dan Amnesty International telah mendesak pembebasan beliau dengan mendedahkan bahawa Dr. Hussam mengalami penderaan fizikal serta dinafikan hak rawatan kesihatan.
‘’Malah, gambar-gambar terbaharu yang tular menunjukkan keadaan fizikal beliau yang amat menyedihkan dan meruntun jiwa sesiapa saja yang melihatnya,’’ kata Dr.Zulkifli.






