BEBERAPA buah kenderaan musnah dalam kebakaran sebuah bengkel pembaikan kenderaan jentera berat di Taman Perindustrian Pandamaran di Klang malam tadi.
Antara yang terbakar adalah lori tiga tan yang membawa muatan gas domestik, sebuah forklift, lori treler serta kenderaan lain.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, selain struktur bangunan yang terbakar 80 peratus, ia turut memusnahkan beberapa kenderaan yang berada di dalam dan sekitar bengkel berkenaan.
Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi JBPM Selangor menerima panggilan pada jam 10.11 malam, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang tiba di lokasi pada jam 10.14 malam.
“Operasi membabitkan BBP Pelabuhan Klang, BBP Andalas, BBP Klang Selatan dan BBP Klang Utara dengan kekuatan 36 anggota pelbagai pangkat termasuk Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
“Sebanyak tiga jentera bomba, tiga lori tangki air dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) digunakan dalam operasi berkenaan,” kata jurucakap itu.
Kebakaran dapat dikawal pada jam 10.30 malam dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.05 malam.
Kata jurucakap itu, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu, manakala punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, kebakaran tersebut turut menyebabkan berlaku letupan kuat daripada tangki dan gas domestik di bengkel terbabit sehingga mencemaskan penghuni Flat Pendamar yang tinggal berhampiran lokasi kejadian.
Situasi itu menyebabkan sebahagian penghuni blok pangsapuri berdekatan bertempiaran keluar menyelamatkan diri ketika api marak.





