KERAJAAN bersetuju menempatkan anggota polis di stesen minyak berhampiran sempadan dan kawasan berisiko tinggi bagi membanteras isu ketirisan serta penyeludupan bahan api susulan krisis tenaga global.
Langkah itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 April lalu, sebagai peluasan kepada penempatan statik penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang dilaksanakan sejak 20 Mac lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu bagi memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan di lokasi berisiko tinggi.
“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang lalu iaitu pada 8 April telah bersetuju untuk menempatkan anggota polis di stesen minyak sebagai tambahan kepada penempatan statik para penguat kuasa KPDN sebelum ini,” katanya kepada media selepas hadir Program Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) Santuni Komuniti@Dapur Kita-kita, di Kota Kinabalu hari ini.
Armizan berkata, setakat ini penguat kuasa KPDN ditempatkan di 87 stesen minyak dalam fasa pertama bermula 20 Mac hingga 10 April, manakala fasa kedua yang bermula minggu depan akan melibatkan tambahan 70 stesen dengan penyertaan anggota polis.
Ia tertumpu kepada stesen minyak berhampiran sempadan negara serta premis yang menunjukkan peningkatan jualan luar biasa berdasarkan laporan harian.
Armizan turut memaklumkan, pihaknya juga merancang untuk melibatkan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dalam inisiatif berkenaan.
“Saya telah berbincang dengan Menteri Dalam Negeri untuk mempertimbangkan keperluan penglibatan sukarelawan Rela dalam proses pemantauan secara statik di stesen-stesen minyak ini,” katanya.


