BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah bank pelaburan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu berhubung pembayaran RM139.8 juta kepada sebuah syarikat pengurusan universiti swasta.
Razlan Raghazli, 43, bekas CEO UBB Investment Bank Limited mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan, Razlan didakwa menipu Pengarah Urusan merangkap CEO UBB Amanah Bhd Aida Aizura Othman, 52, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa jadual pembayaran di dalam surat UBB Investment Bank Limited adalah selaras dengan nasihat guaman.
Surat “Disbursement Advice on Islamic Property Financing Under Bai-Bithaman Ajil (BBA)” bertarikh 18 Sept 2025 itu ditandatangani Razlan dengan menyatakan ia mengikut nasihat peguam daripada sebuah firma guaman.
Lelaki itu bagaimanapun didakwa mengetahui bahawa jadual pembayaran tersebut bercanggah dengan nasihat yang diberikan.
Perbuatan itu didakwa menyebabkan Aida Aizura melepaskan pembayaran wang berjumlah RM139,891,776 kepada ELMU Higher Education Sdn Bhd yang tidak akan dilakukan jika tidak diperdayakan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di UBB Investment Bank Limited, Galeria Hartamas, Desa Sri Hartamas pada September 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan Razlan diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes berkenaan selesai.
Pengurusan kes ditetapkan pada 12 Oktober depan, termasuk bagi penyerahan dokumen berkaitan.
Razlan diwakili peguam Azamudin Abd Aziz, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hazel Tan.
Dalam prosiding sama, peguam pemerhati yang mewakili UBB, Johan Mohan Abdullah, memohon supaya nama UBB tidak disebut dalam laporan media berhubung kes berkenaan. Bagaimanapun, hakim menolak permohonan berkenaan.





