PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berhubung kemalangan maut membabitkan lori jabatan itu di Jalan Sultan Ismail, di sini awal pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata tindakan sewajarnya perlu diambil sekiranya siasatan mendapati wujud unsur kecuaian atau pelanggaran undang-undang.
“Saya telah mengarahkan Jabatan Imigresen supaya menjalankan siasatan dengan segera dan menyeluruh. Jika terdapat kecuaian atau pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa kompromi,” kata beliau.
Perdana Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden tragis berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, jabatan itu menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung kemalangan maut itu.
Katanya, beliau masih menunggu laporan penuh berhubung kejadian berkenaan.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berdasarkan undang-undang,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, seorang lelaki berusia 53 tahun dan dua anak perempuannya masing-masing berumur 25 dan 12 tahun meninggal dunia di tempat kejadian selepas dipercayai dilanggar sebuah lori JIM dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Maju Junction.
Isteri lelaki berkenaan yang berusia 55 tahun pula mengalami kecederaan pada kepala, tangan serta kedua-dua belah kaki dan kini dirawat di Zon Merah, Hospital Kuala Lumpur.
Menurut polis, lori Isuzu ‘Black Maria’ tanpa muatan itu dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin.





