LEMBAGA Tabung Haji (TH) menegaskan bahawa status pelunasan zakat bagi pihak pendeposit adalah sah dan telah dilaksanakan dengan sempurna.
TH dalam kenyataan memaklumkan, Jawatankuasa Penasihat Syariah (JPS) TH dalam mesyuaratnya pada 2 September 2020 lalu berpandangan bahawa status pembayaran zakat bagi pendeposit pada tahun sebelum konsep wakalah diperkenalkan pada 2019 adalah sah dan mematuhi hukum syarak.
“Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 3 Mei 1979 menetapkan bahawa TH adalah institusi yang tidak wajib zakat ke atasnya tetapi TH wajib membayar zakat bagi pihak pendeposit.
“Oleh itu, TH telah secara konsisten menunaikan kewajipan membayar zakat bagi pihak pendeposit selaras dengan ketetapan ini,” menurut kenyataan itu.
Berhubung pembayaran zakat bagi tahun-tahun semasa kontrak Wadiah Yad Damanah digunakan (2016-2019), kenyataan itu menjelaskan, zakat yang dikeluarkan itu adalah zakat perniagaan (secara khultah) bagi pihak pendeposit ke atas kumpulan wang pendeposit yang diniagakan.
Menurut TH, ia adalah berasaskan kepada pertimbangan iaitu yang pertama, TH tidak diwajibkan zakat ke atasnya; kedua, TH tidak mempunyai pemegang saham; dan ketiga, keseluruhan aset yang diniagakan TH adalah dijana sepenuhnya daripada dana pendeposit.
“Oleh yang demikian, semua zakat yang dibayar oleh TH pada setiap masa adalah bagi pihak pendeposit.
“Pendeposit tidak lagi perlu mengeluarkan zakat ke atas dana deposit yang sama selepas TH melunaskan zakat bagi pihak mereka kerana ia akan mengakibatkan pertindihan zakat ke atas harta yang sama, yang tidak selaras dengan prinsip Syariah,” menurut kenyataan sama.
Merujuk kepada syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH supaya perkara berkaitan amalan zakat TH dibawa kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), TH ingin menegaskan bahawa amalan zakat TH telah dibentangkan dan diperakui oleh Jawatankuasa Muzakarah tersebut pada Jun 2024.
“Pandangan Jawatankuasa Muzakarah tersebut seterusnya telah disembah maklum kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-267 pada Oktober 2024.
“TH ingin memaklumkan bahawa keseluruhan operasi dan tadbir urus zakat TH adalah berpandukan Garis Panduan Zakat yang telah diluluskan dan dipantau oleh JPS TH yang dianggotai oleh pakar-pakar Syariah dan kewangan Islam,” jelas TH dalam kenyataan itu.






