Seorang bekas ejen insurans dihukum penjara dua tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini selepas mengaku bersalah menyalahgunakan wang pelaburan berjumlah RM150,000 milik seorang lelaki.
Hakim Shahrul Rizal Majid menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Zul Ariff Ismail, 39, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan curangnya menyalahgunakan wang bayaran skim pelaburan sebuah syarikat insurans berjumlah RM150,000 yang diberikan mangsa.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 10 pagi di sebuah bank di Taman Semarak, Nilai pada 5 Januari 2022.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada Januari 2022 mangsa ditawarkan skim pelaburan syarikat insurans yang sah oleh seorang ejen sebelum bersetuju melabur sebanyak RM150,000 selepas diberikan penerangan lanjut.
Mangsa turut dijanjikan pulangan atau keuntungan tahunan sebanyak enam peratus daripada jumlah modal yang dilaburkan.
Bagaimanapun, selepas pemindahan wang dibuat, mangsa tidak pernah menerima sebarang keuntungan sebelum membuat semakan dengan pihak syarikat insurans.
Hasil semakan mendapati tiada polisi didaftarkan atas nama mangsa bagi skim pelaburan yang ditawarkan.
Siasatan lanjut mendapati tertuduh mengaku menerima wang berkenaan dan menggunakannya untuk kepentingan peribadi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurnadiahani Mohd Ideris memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan sedang menerima rawatan penyakit kritikal selain menanggung seorang anak berusia sembilan tahun.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa bermula dari tarikh sabitan.






