ARSENAL terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 di Stadium of Light selepas pasukan tuan rumah, Sunderland, mempamerkan semangat juang tinggi untuk menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan Liga Perdana Inggeris.
The Gunners berkunjung ke utara dengan harapan untuk melebarkan jurang sembilan mata di puncak liga, namun mereka dikejutkan pada minit ke-36 apabila bekas pemain akademi Arsenal, Dan Ballard, meledak gol ke bumbung gawang hasil tandukan susulan daripada Nordi Mukiele.
Bukayo Saka menyamakan kedudukan untuk Arsenal pada awal separuh masa kedua selepas Declan Rice merampas bola daripada Enzo Le Fee, sebelum melakukan gerakan pantas bersama Eberechi Eze dan Mikel Merino yang berakhir dengan rembatan deras kaki kanan Saka.
Pasukan pelawat mendahului pada minit ke-74 menerusi Leandro Trossard, yang bijak memperdaya Noah Sadikisebelum melepaskan rembatan jarak jauh menewaskan Robin Roefs.
Namun, Sunderland enggan mengalah dan berjaya menyamakan kedudukan apabila Brian Brobbey menewaskan Gabriel Magalhaes serta penjaga gol David Raya untuk menjaringkan gol penyamaan.
Ballard kemudian menjadi wira apabila melakukan halangan penting di minit akhir untuk menggagalkan percubaan Merino, sekali gus memastikan satu mata berharga buat pasukannya.
Keputusan itu menyaksikan Sunderland kekal di tangga ketiga dengan 19 mata, manakala kelebihan Arsenal di puncak liga boleh dikurangkan kepada empat mata selepas pertembungan antara Manchester City dan Liverpool pada Ahad ini.
Gol lewat Sunderland itu merupakan gol kelima mereka pada minit ke-90 atau lebih lewat musim ini — terbanyak dalam Liga Perdana — dengan tiga daripadanya mengubah keputusan perlawanan memihak kepada mereka.
Bagi Arsenal pula, keputusan ini menamatkan rekod tanpa bolos selama 812 minit dan merupakan kali pertama musim ini mereka dibolosi lebih daripada satu gol dalam satu perlawanan.



