Bekas wartawan Kosmo!, suami dan tiga anak cedera parah

BEKAS wartawan Kosmo!, Nurul Faiqah Abd Rahman, 34, bersama suami dan tiga anak mereka cedera parah selepas kereta dinaiki dipercayai dilanggar pemandu yang disyaki mabuk di Kilometer (KM) 440.5 arah selatan, dari Sungai Buaya ke Rawang, awal pagi semalam.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 4.30 pagi membabitkan Nurul Faiqah, suaminya, Tengku Muhammad Shah Asyraf, 34, serta tiga anak mereka, Amanda, Aqashah dan Amaya.

Difahamkan, kemalangan itu menyebabkan Tengku Asyraf dan salah seorang anak mereka mengalami patah tangan dan kaki.

Nurul Faiqah pula dikatakan baru selesai tempoh berpantang selepas melahirkan anak ketiga mereka, Amaya, kira-kira dua bulan lalu.

Dalam hantaran yang dikongsikan ahli keluarga menerusi Instagram Story, orang ramai diminta membantu sekiranya mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) atau menyaksikan kejadian berkenaan.

Menurut keluarga, dashcam daripada kenderaan yang terlibat dipercayai hilang menyebabkan rakaman daripada pengguna jalan raya lain amat diperlukan bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai rakaman dashcam di sekitar lokasi KM440.5 arah selatan, dari Sungai Buaya ke Rawang, pada waktu kejadian diminta tampil membantu.

“Mohon sesiapa yang mempunyai rakaman dashcam di sekitar lokasi KM440.5 arah selatan dari Sungai Buaya ke Rawang pada waktu kejadian, Ahad (6 September 2026) jam 4.30 pagi tampil membantu.

“Rakaman orang awam mungkin menjadi bukti yang sangat penting,” katanya.

Dalam pada itu, keluarga turut memohon orang ramai mendoakan supaya pembedahan Tengku Asyraf dipermudahkan, dilindungi daripada sebarang komplikasi dan diberikan kesembuhan sempurna.

Nurul Faiqah dan Tengku Asyraf, masing-masing pernah bertugas sebagai wartawan di akhbar Kosmo! sebelum mendirikan rumah tangga.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here