Biodiesel B15 memperkukuh keselamatan tenaga negara

Oleh: Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman

KESELAMATAN tenaga sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada jumlah bekalan tenaga, tetapi juga kepada kepelbagaian sumber tenaga yang digunakan. Negara yang terlalu bergantung kepada petroleum import lebih mudah terdedah kepada ketidaktentuan harga global. Oleh itu, penggunaan biodiesel merupakan strategi diversifikasi tenaga yang semakin diterima di peringkat antarabangsa.

Penggunaan Biodiesel B15 merupakan satu langkah strategik dan amat signifikan dalam mengurangkan pergantungan Malaysia terhadap diesel petroleum konvensional yang yang sebahagian bekalannya terdedah kepada turun naik harga minyak mentah dunia, konflik geopolitik dan gangguan rantaian bekalan antarabangsa.

Kebergantungan yang tinggi terhadap bahan api fosil menyebabkan negara mudah terdedah kepada kejutan ekonomi akibat kenaikan harga minyak mentah dan gangguan bekalan global.

Krisis di Selat Hormuz, konflik Rusia–Ukraine serta ketidakstabilan pasaran tenaga global telah membuktikan bahawa negara yang terlalu bergantung kepada bahan api import berdepan risiko peningkatan kos subsidi dan gangguan bekalan.

Menurut International Energy Agency (IEA), konflik geopolitik merupakan antara faktor utama yang meningkatkan risiko keselamatan tenaga global. Dalam konteks ini, biodiesel sawit menjadi “insurans tenaga” negara kerana sumber bahan mentahnya dihasilkan sepenuhnya dalam negara.

Bermula 1 Jun 2026, kerajaan memperluaskan penggunaan campuran 15% biodiesel sawit dan 85% diesel petroleum di Semenanjung Malaysia. Menurut kerajaan, pelaksanaan B15 merupakan sebahagian daripada strategi memperkukuh daya tahan tenaga nasional ketika dunia berdepan krisis bekalan tenaga global.

Malaysia disokong infrastruktur industri kukuh

Keupayaan Malaysia melaksanakan dasar ini turut disokong oleh infrastruktur industri yang kukuh. Sehingga tahun 2024, Malaysia mempunyai 18 loji biodiesel berlesen dengan kapasiti pengeluaran keseluruhan sekitar 2.53 juta tan setahun.

Kapasiti ini jauh melebihi penggunaan semasa dan membolehkan peningkatan penggunaan biodiesel dilaksanakan tanpa memerlukan pelaburan besar dalam pembinaan loji baharu kerana sebahagian besar kapasiti ini masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.

Anggaran industri menunjukkan bahawa pengeluaran biodiesel pada tahun 2025 adalah sekitar 1.3 juta tan, sedangkan kapasiti sedia ada melebihi dua juta tan.

Pelaksanaan B15 dijangka meningkatkan permintaan biodiesel domestik daripada kira-kira 1.0 juta tan kepada hampir 1.4 juta tan setahun iaitu tambahan sekitar 400,000 tan biodiesel sawit tanpa memerlukan pembinaan loji baharu. Ini menunjukkan Malaysia sebenarnya telah memiliki kapasiti pengeluaran yang mencukupi untuk menyokong peningkatan penggunaan biodiesel.

Mempelbagaikan sumber bahan api domestik, kurangkan kebergantungan import

Dari sudut ekonomi, penggunaan Biodiesel B15 mampu membina rantaian nilai domestik yang lengkap bermula daripada ladang, kilang pemprosesan minyak sawit, loji biodiesel, syarikat logistik, stesen minyak sehingga kepada pengguna akhir.

Berbeza dengan diesel petroleum import yang menyebabkan aliran keluar pertukaran asing, setiap liter biodiesel sawit yang digunakan mewujudkan permintaan terhadap hasil sawit tempatan, meningkatkan nilai tambah industri hiliran dan merangsang pertumbuhan ekonomi domestik.

Kajian OECD turut mengiktiraf biofuel sebagai komponen penting dalam strategi peralihan tenaga Malaysia dengan biodiesel telah menyumbang sekitar 648 kilotan bersamaan minyak (ktoe) kepada bekalan tenaga primer negara. OECD juga menganggarkan biojisim mempunyai potensi penjanaan tenaga sekitar 2.3 GW, menunjukkan sumber bio berasaskan sawit masih mempunyai ruang besar untuk diperkembangkan.

Statistik ini menunjukkan bahawa biofuel berpotensi menjadi salah satu tonggak utama dalam strategi peralihan tenaga negara pada masa hadapan.

Manfaat langsung kepada industri sawit dan pekebun kecil

Manfaat terbesar pendekatan ini sebenarnya dinikmati oleh pekebun kecil. Lebih 450,000 pekebun kecil bergantung kepada industri sawit sebagai sumber pendapatan utama.

Apabila penggunaan biodiesel meningkat, permintaan terhadap minyak sawit domestik turut meningkat sekali gus membantu menstabilkan harga buah tandan segar (FFB) dan minyak sawit mentah. Keadaan ini mengurangkan kebergantungan industri kepada pasaran eksport yang sering dipengaruhi turun naik permintaan antarabangsa, sekatan perdagangan dan ketidakstabilan harga minyak sayuran global.

Oleh itu, setiap liter biodiesel yang digunakan oleh pengguna sebenarnya menyumbang kepada peningkatan pendapatan keluarga pekebun kecil, pengukuhan ekonomi luar bandar dan pembangunan industri hiliran negara.

Kajian oleh MPOB menunjukkan bahawa peningkatan penggunaan biodiesel domestik mampu menjadi mekanisme penampan pasaran apabila permintaan eksport berkurangan.

Ini bermakna biodiesel bukan sahaja berfungsi sebagai sumber tenaga alternatif, tetapi juga sebagai instrumen ekonomi yang membantu mengekalkan kestabilan pendapatan pekebun kecil. Hubungan ini memperlihatkan bahawa setiap pengguna biodiesel sebenarnya turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi luar bandar dan kesejahteraan komuniti pekebun.

Biodiesel dan agenda peralihan kepada tenaga mampan

Peralihan kepada tenaga yang lebih mampan merupakan satu proses jangka panjang yang memerlukan pendekatan pragmatik. Biodiesel B15 dilihat sebagai teknologi peralihan yang praktikal kerana boleh digunakan pada kebanyakan enjin diesel moden tanpa pengubahsuaian besar terhadap infrastruktur sedia ada.

Ujian penggunaan biodiesel dalam keadaan pemanduan sebenar turut menunjukkan bahawa campuran biodiesel dapat digunakan dalam kebanyakan enjin diesel moden dengan prestasi operasi yang memuaskan di samping menawarkan manfaat terhadap pengurangan pelepasan ekzos bergantung pada nisbah campuran dan jenis enjin.

Pelbagai kajian terdahulu juga menunjukkan bahawa biodiesel sawit mampu menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dan pencemar udara berbanding diesel petroleum konvensional.

Kajian oleh Mosarof et al. (2015) serta beberapa penyelidikan MPOB menunjukkan bahawa biodiesel daripada minyak sawit merupakan bahan api boleh diperbaharui berupaya mengurangkan pergantungan terhadap bahan api fosil serta mengurangkan pelepasan gas rumah hijau iaitu mampu mengurangkan pelepasan karbon sepanjang kitaran hayat bahan api berbanding diesel petroleum konvensional.

Selain itu, penggunaan biodiesel turut membantu mengurangkan pelepasan bahan pencemar tertentu seperti karbon monoksida (CO), hidrokarbon tidak terbakar (HC) dan zarah terampai (PM), bergantung kepada spesifikasi enjin dan nisbah campuran biodiesel. Oleh sebab itu, biodiesel semakin diiktiraf sebagai antara komponen penting dalam strategi penyahkarbonan sektor pengangkutan.

Pengalaman antarabangsa membuktikan keberkesanan biodiesel

Pengalaman antarabangsa turut memperlihatkan bahawa biodiesel telah menjadi instrumen penting dalam dasar keselamatan tenaga. Indonesia, sebagai pengeluar sawit terbesar dunia telah melaksanakan mandat biodiesel sehingga B35 dan sedang mempertimbangkan peningkatan kepada B40, sekali gus meningkatkan penggunaan domestik minyak sawit dan mengurangkan import diesel.

Brazil, Argentina serta beberapa negara Kesatuan Eropah turut memperluaskan penggunaan biofuel bagi mengurangkan pergantungan terhadap petroleum. Menurut International Energy Agency (IEA), permintaan biofuel global dijangka terus meningkat sehingga penghujung dekad ini berikutan dasar penyahkarbonan dan usaha negara-negara mengurangkan import bahan api fosil.

Perkembangan ini membuktikan bahawa penggunaan biodiesel bukan lagi sekadar dasar pertanian tetapi telah berkembang menjadi dasar strategik yang menghubungkan keselamatan tenaga, pembangunan industri dan kestabilan ekonomi negara.

Malaysia melalui pelaksanaan B15 kini berada pada landasan yang sama untuk memperkukuh daya tahan tenaga nasional secara berperingkat.

Membina kesedaran rakyat

Kejayaan pelaksanaan Biodiesel B15 bergantung kepada penerimaan dan kefahaman masyarakat. Ramai pengguna masih melihat biodiesel sekadar campuran bahan api tanpa menyedari bahawa setiap liter biodiesel yang digunakan sebenarnya menyokong pendapatan pekebun kecil, meningkatkan penggunaan minyak sawit tempatan, mengukuhkan industri hiliran serta mengurangkan pergantungan negara kepada bahan api import.

Kesedaran ini perlu diperkasakan melalui kempen pendidikan awam yang menjelaskan bahawa penggunaan biodiesel merupakan satu bentuk pelaburan sosial dan ekonomi.

Pengguna bukan sekadar mengisi minyak untuk kenderaan mereka, tetapi turut menyumbang kepada pengukuhan keselamatan tenaga negara, peningkatan pendapatan komuniti luar bandar dan pembangunan ekonomi domestik.

Dalam dunia yang semakin berdepan ketidaktentuan geopolitik, perubahan iklim dan gangguan rantaian bekalan global, setiap liter Biodiesel B15 melambangkan satu langkah ke arah Malaysia yang lebih berdikari, mampan dan berdaya tahan.

Secara keseluruhannya, pendekatan “daripada ladang kepada tenaga” melalui Biodiesel B15 bukan sekadar dasar penggunaan bahan api alternatif, tetapi merupakan strategi pembangunan negara yang menyepadukan sektor pertanian, tenaga, industri dan kelestarian.

Dengan kapasiti loji biodiesel melebihi 2.5 juta tan setahun, pengeluaran minyak sawit mentah sekitar 19.34 juta tan setahun, lebih 450,000 pekebun kecil serta rantaian nilai yang melibatkan ratusan kilang dan ribuan perusahaan hiliran, Malaysia memiliki asas yang kukuh untuk menjadikan biodiesel sebagai salah satu tonggak keselamatan tenaga negara.

Dalam dunia yang semakin tidak menentu akibat konflik geopolitik, perubahan iklim dan turun naik harga tenaga, Biodiesel B15 merupakan pelaburan strategik jangka panjang yang bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import malah memastikan manfaat ekonomi terus beredar dalam negara, bermula daripada ladang kepada tenaga dan akhirnya kepada kesejahteraan rakyat serta daya tahan ekonomi Malaysia.

Lebih daripada sekadar bahan api alternatif, malah Biodiesel B15 ialah instrumen strategik yang memperkukuh keselamatan tenaga, mempelbagaikan sumber bahan api domestik, meningkatkan kesejahteraan pekebun kecil, mengukuhkan rantaian nilai tempatan dan menyokong agenda penyahkarbonan negara.

Pendekatan ini membuktikan bahawa kekuatan ekonomi Malaysia boleh dibina bermula dari ladang, diproses menjadi tenaga dan akhirnya memacu kemakmuran negara secara mampan.

*Penulis ialah Ketua Laboratori, Institut Pengajian Sains Sosial/Jabatan Kesihatan Persekitaran & Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM)



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here