POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Op Soga XI di seluruh negara bagi membanteras kegiatan perjudian haram dan pertaruhan sukan yang dijangka meningkat sepanjang Kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 bermula esok hingga 19 Julai depan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan secara agresif dan menyeluruh membabitkan semua kontinjen polis di seluruh negara.
Menurutnya, antara fokus utama operasi adalah memantau serta mengambil tindakan terhadap aktiviti perjudian dan pertaruhan dalam talian yang dikendalikan sindiket perjudian haram.
“Antara fokus pemantauan dan tindakan dilaksanakan ke atas aktiviti perjudian dan pertaruhan secara dalam talian membabitkan sindiket perjudian dalam talian, platform yang menjalankan aktiviti perjudian dan pertaruhan dalam talian serta promosi melalui medium akaun media sosial.
“Selain itu, tindakan juga akan diambil ke atas aktiviti perjudian dan pertaruhan secara fizikal membabitkan premis perjudian dan pertaruhan haram, individu yang bertaruh, ejen pertaruhan dan premis atau individu yang mempromosikan perjudian dan pertaruhan secara fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi berkenaan turut membabitkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Bank Negara Malaysia bagi mengesan serta menyekat platform dan transaksi kewangan yang digunakan sindiket perjudian.
Kumar berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak terbabit dalam sebarang bentuk perjudian dan pertaruhan haram sama ada sebagai pemain, ejen, pengutip pertaruhan mahupun penganjur.
“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan termasuk Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Akta Pertaruhan 1953, Kanun Keseksaan serta Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya.
Beliau menegaskan PDRM komited memperhebatkan penguatkuasaan terhadap semua bentuk perjudian tanpa lesen dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu usaha membanteras kegiatan perjudian haram secara menyeluruh.






