Bot tanpa lesen ditahan, tekong warga Indonesia diberkas

SEBUAH bot fiber yang dipercayai menjalankan aktiviti penangkapan ikan tanpa lesen ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kapar, lewat malam semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira jam 11.50 malam oleh kapal ronda Maritim Malaysia ketika melaksanakan rondaan rutin di kedudukan 0.4 batu nautika barat daya Sungai Sementa Besar.

Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati bot fiber itu tidak mempunyai nombor pendaftaran dan dikendalikan seorang lelaki warga Indonesia berusia 32 tahun yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, pemeriksaan lanjut turut mendapati tekong terbabit gagal mengemukakan lesen atau kebenaran menjalankan aktiviti penangkapan ikan serta dokumen berkaitan vesel.

“Susulan itu, individu terbabit bersama bot fiber telah ditahan dan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti penangkapan ikan tanpa lesen, Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana menggunakan bot tanpa nombor pendaftaran serta dokumen yang sah, dan Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Abdul Muhaimin menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang di perairan negara, khususnya kegiatan perikanan haram yang boleh menjejaskan sumber marin serta keselamatan perairan.

Menurut beliau, penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan di perairan Selangor bagi memastikan semua aktiviti penangkapan ikan dilaksanakan mengikut undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Beliau turut menggesa orang ramai, khususnya komuniti maritim, supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor bagi membolehkan tindakan segera diambil.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img