LAPAN pemilik bot dan tekong dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini, atas pertuduhan memiliki hampir 20,000 liter diesel tanpa permit sah di Pengkalan Nazori, Kampung Geting, Tumpat, April lalu.
Tertuduh ialah Muhamad Haika Dalwis, 22; Haziq Haiqal Bahrom, 24; Muhammad Nor Haffizi Azhar, 24; Ahmad Fahami Sukrie Mohamad, 33; Mohd Shahrul Azan Ismail, 39; Mohd Raffi Ramli, 47; Zawawi Zakaria, 48; dan Mohd Zurin Yahya, 51.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel berjumlah 19,836.768 liter yang disimpan dalam empat vesel sehingga menimbulkan syak munasabah bahawa satu kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 telah dilakukan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 4.53 petang hingga 4.55 petang di Pengkalan Nazori, Kampung Geting, Tumpat pada 12 April lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Siti Edabayu Subhan bersama Muhammad Iman Masjuri, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Azrul Hasyimi Mohammad.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh memandangkan kesalahan yang dihadapi adalah serius.
Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon jumlah jaminan minimum atas alasan kesemua tertuduh memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.
Mahkamah kemudian membenarkan Ahmad Fahami Sukrie dan Muhamad Haika diikat jamin RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Enam lagi tertuduh pula dibenarkan diikat jamin RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada tarikh 2 Julai depan.


