Lima premis hiburan diserbu, DBKL sita peralatan muzik

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita pelbagai peralatan muzik dan mengeluarkan 10 notis kompaun selepas lima premis hiburan yang disyaki beroperasi tanpa lesen serta melanggar syarat lesen diserbu dalam Operasi Bersepadu (Ops Tebah) Siri 5/2026, awal pagi semalam.

Operasi yang bermula pada jam 11 malam Sabtu hingga jam 7 pagi Ahad itu turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

DBKL dalam kenyataan memaklumkan, operasi dijalankan di sekitar Jalan Telawi, Bangsar, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Imbi, Bukit Bintang.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan menyeluruh dijalankan terhadap premis yang dipercayai menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen selain melanggar syarat lesen, termasuk pemeriksaan terhadap pengunjung dan individu yang berada di dalam premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, DBKL melaksanakan tiga tindakan sitaan membabitkan pelbagai peralatan muzik selain mengeluarkan 10 notis kompaun atas pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan dikesan ialah menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen, menggaji pembantu warga asing tanpa permit sah, menjalankan aktiviti perniagaan yang tidak dibenarkan dalam lesen, pengendali tidak menerima suntikan tifoid serta membenarkan pengunjung bawah umur memasuki premis hiburan,” menurut kenyataan itu.

Kesalahan berkenaan dikesan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016, Kaedah-Kaedah Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1993 dan Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992.

DBKL turut memaklumkan semua peralatan yang disita telah dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL bagi tujuan rekod dan dokumentasi.

Dalam operasi sama, AADK menahan lima individu selepas ujian saringan air kencing mendapati mereka positif bahan terlarang dan dibawa ke Ibu Pejabat AADK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut mengikut Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Sementara itu, JKDM mengeluarkan dua notis kepada pemilik premis hiburan supaya hadir ke pejabat kerana disyaki melanggar peraturan eksais serta menjual minuman keras secara runcit tanpa lesen di bawah Akta Eksais 1976.

Pada masa sama, JAWI mengeluarkan 52 notis perintah hadir kepada pengunjung beragama Islam bagi membantu siasatan berhubung kesalahan meminum minuman memabukkan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

DBKL berkata, operasi penguatkuasaan dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa di lokasi yang dikenal pasti bagi memastikan pematuhan undang-undang serta syarat pelesenan oleh pengusaha premis hiburan di ibu negara.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img