SEORANG kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas dipercayai terjatuh ketika mandi di dalam bilik air rumahnya di Taman Bukit Segar, Cheras, Kajang, pukul 5 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada jam 9.01 malam daripada Jabatan Kecemasan Zon Merah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dikatakan terjatuh semasa mandi di dalam bilik air rumahnya dan mengalami kecederaan.
“Mayat dibawa ke Unit Forensik HCTM UKM untuk bedah siasat, dan punca kematian masih lagi dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
“Polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Amirul Abd Wahab di talian 013-5495236.






