ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) tidak menolak kemungkinan wujud faktor kecuaian dalam kejadian letupan yang mengorbankan nyawa dua anggota semasa Latihan Membaling Grenad di Kem Hobart, dekat Gurun, Kedah pada 16 Jun lalu.
Bagaimanapun, punca sebenar kejadian bakal diperoleh selepas hasil siasatan menyeluruh mengenai punca kejadian diumumkan dalam masa terdekat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pada masa ini siasatan masih dijalankan pasukan khas terdiri pakar peluru dan bahan letupan tentera dengan memberi tumpuan kepada lot grenad yang terbabit dalam insiden berkenaan.
“Apa yang kita kena tahu dalam kes letupan ini adalah segala teknik semasa mencabut pin pada grenad berkenaan sebelum membalingnya.
“Kalau kita pegang bom tangan dan kemudian mencabut pin, bom itu tidak akan meletup bergantung pada cara genggamannya… namun sekiranya bom tangan itu terlepas, maka ada masa empat saat sebelum bom itu meletup,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) dan Rancangan Tindakan Keupayaan Pertahanan (RTKP), lapor BH Online.
Mohamed Khaled berkata, grenad yang sudah dicabut pin dan dilontarkan boleh meletup dan meledak dalam radius jarak lima meter.
“Jadi, mana-mana orang yang berada dalam jarak lima meter, tempat bom dibaling kemungkinan boleh tercedera akibat serpihan dan ledakan bom,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, penjelasan mengenai butiran letupan berkenaan bukanlah merujuk kepada kejadian di Kem Hobart, sebaliknya rumusan mengenai kaedah Latihan Membaling Grenad.
Dalam kejadian itu, Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) dan Siti Khadijah Sungip, daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (1 RAJD), terkorban selepas menyertai latihan berkenaan.






