BUDI Diesel: Pemilik boleh pindah kelayakan kepada maksimum 3 individu berkuat kuasa serta-merta

PEMILIK berdaftar yang layak bawah BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) boleh memindahkan kelayakan kepada maksimum tiga individu yang benar-benar menggunakan kenderaan terbabit, berkuat kuasa serta-merta.

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis Sambutan Hari Malaysia 2026 malam tadi yang mana kerajaan bersetuju memperluaskan kemudahan pemindahan kelayakan BUDI Diesel.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan malam ini berkata, sebelum ini pemindahan kelayakan hanya dibenarkan kepada ahli keluarga terdekat.

Katanya, penerima yang diluluskan akan mendapat kelayakan bulanan sendiri yang boleh digunakan untuk membeli RON95 bersubsidi, diesel bersubsidi atau gabungan kedua-duanya.

“Pemindahan kelayakan ini tidak membabitkan pertukaran hak milik kenderaan.

“Penambahbaikan ini dibuat susulan maklum balas diterima Perdana Menteri, terutama daripada pengguna kenderaan diesel di Sabah dan Sarawak, dengan urusan jual beli kenderaan secara sambung bayar dan pemilikan beberapa kenderaan diesel dalam sesebuah isi rumah lebih lazim,” kata kenyataan MoF.

Menurut kenyataan itu lagi, dua penambahbaikan utama dilaksanakan bawah ketetapan baharu berkenaan.

Ketetapan itu ialah pemindahan kelayakan diperluaskan kepada pengguna sebenar kenderaan dan pemilik beberapa kenderaan diesel boleh memindahkan kelayakan kepada maksimum tiga individu.

“Pemilik berdaftar boleh memindahkan kelayakan kepada mana-mana warganegara Malaysia mempunyai MyKad sah dan layak menerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang juga pengguna sebenar kenderaan ditetapkan.

“Selepas permohonan diluluskan, penerima yang diluluskan boleh menggunakan MyKad sendiri untuk membeli diesel bersubsidi berdasarkan kenderaan diesel yang ditetapkan kepadanya.

“Sebelum ini, kemudahan pemindahan hanya terhad kepada ahli keluarga terdekat,” katanya.

Menurutnya, pemilik berdaftar yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel persendirian pula boleh memindahkan kelayakan bulanan kenderaan kepada maksimum tiga individu lain, tertakluk kepada jumlah kenderaan diesel berdaftar.

“Pada masa sama, pemilik berdaftar masih mengekalkan kelayakan bulanan bagi kenderaan diesel persendirian yang belum dipindahkan untuk kegunaan sendiri.

“Sebagai contoh, sekiranya Encik Alias mempunyai empat kenderaan diesel persendirian, beliau boleh memindahkan kelayakan bulanan kenderaan itu kepada pengguna sebenar seperti isteri, anak dan pekerjanya.

“Encik Alias dan ketiga-tiga individu itu akan menerima kelayakan bulanan masing-masing berdasarkan jenis kenderaan yang digunakan,” katanya.

Bagi kenderaan diesel persendirian jenis jip atau pikap yang layak, katanya, Encik Alias sebagai pemilik berdaftar kenderaan itu memohon tambahan 100 liter sebulan tertakluk pada syarat ditetapkan sebelum permohonan pindah kelayakan dapat dibuat.

“Bagi situasi yang mana pemilik memindahkan ketiga-tiga kenderaan diesel dimiliki, pemilik berdaftar akan dapat menikmati subsidi BUDI95 saja.

“Bagi setiap kenderaan yang layak, pemindahan hanya dibenarkan sekali. Selepas diluluskan, kelayakan itu tidak boleh dipindahkan semula kepada pemilik berdaftar atau kepada individu lain kecuali dalam keadaan khusus ditetapkan.

“Seorang penerima hanya boleh menerima pemindahan kelayakan daripada seorang pemilik berdaftar,” katanya.

Menurut kenyataan itu, permohonan bawah ketetapan baharu boleh dibuat mulai hari ini melalui Portal BUDI MADANI: www.budimadani.gov.my atau secara fizikal di mana-mana Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau maklumat lanjut serta bantuan di stesen minyak berdekatan.

“Untuk membolehkan kelayakan digunakan mulai 1 hari bulan berikutnya, permohonan perlu dikemukakan selewat-lewatnya pada 27 hari bulan semasa.

“Permohonan yang dikemukakan selewat-lewatnya pada 27 September ini akan diproses untuk membolehkan kelayakan digunakan mulai 1 Oktober depan, tertakluk kepada semakan dan pengesahan data,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here