BUDI Diesel: Pindah kelayakan subsidi kepada ahli keluarga antara penambahbaikan diperkenalkan kerajaan

KEMENTERIAN Kewangan (MoF) akan membenarkan pemilik berdaftar kenderaan diesel memindahkan kelayakan subsidi diesel kepada ahli keluarga terdekat yang merupakan pengguna sebenar kenderaan tersebut berikutan pelaksanaan BUDI Diesel bagi penerima layak di Semenanjung Malaysia yang bermula esok.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kebenaran itu adalah antara beberapa langkah penambahbaikan yang telah dipersetujui bagi memastikan peralihan kepada BUDI Diesel berjalan lancar namun kebenaran itu masih tertakluk kepada syarat dan pengesahan yang akan ditetapkan.

Menurutnya, langkah ini mengambil kira keadaan di mana kenderaan diesel digunakan oleh ahli keluarga terdekat yang berbeza daripada pemilik berdaftar kenderaan tersebut.

“Mekanisme pemindahan kelayakan ini akan dimaklumkan melalui saluran rasmi BUDI MADANI selepas perincian teknikal dimuktamadkan.

“Mengambil kira maklum balas dan rayuan peniaga kecil serta pengguna kenderaan diesel untuk tujuan kerja harian, Jemaah Menteri turut bersetuju supaya BUDI Diesel diperluas kepada kenderaan persendirian milik syarikat bagi jenis badan pikap dan jip,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Amir Hamzah, perluasan ini dijangka memberi manfaat kepada pengguna yang menggunakan pikap dan jip diesel untuk perniagaan kecil, perjalanan harian dan aktiviti di kawasan luar bandar atau pedalaman, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Katanya, pemilik kenderaan dalam kategori ini boleh membuat semakan dan permohonan melalui portal rasmi BUDI MADANI setelah sistem permohonan dikemas kini.

Beliau memberitahu, penambahbaikan seterusnya, bagi memudahkan pemilik dan pengguna kenderaan diesel mengemas kini rekod pemilikan, Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Program Insentif Pengecualian Sementara Fi Tukar Hak Milik (THM) Kenderaan Diesel selama tiga bulan mulai 1 Julai 2026.

Katanya, pengecualian ini melibatkan fi THM yang pada masa ini boleh mencecah sehingga RM100, bergantung kepada jenis kenderaan dan lokasi pendaftaran.

Langkah ini, kata beliau, mengambil kira pelaksanaan BUDI Diesel yang menggunakan data pemilikan kenderaan dan cukai jalan aktif sebagai antara kriteria kelayakan.

“Dengan pengecualian ini, pemilik serta pengguna sebenar kenderaan diesel mempunyai ruang untuk memastikan maklumat pemilikan kenderaan adalah teratur dan selaras dengan penggunaan sebenar,” jelas beliau.

Bagi memudahkan urusan rakyat, Amir Hamzah berkata, JPJ akan membuka kaunter perkhidmatan pada hujung minggu dari 4 Julai hingga 26 Julai 2026, bermula jam 8 pagi hingga 5 petang di semua Pejabat JPJ Negeri dan Pejabat JPJ UTC Negeri.

Kaunter ini tambah beliau, akan mengendalikan urusan berkaitan permohonan BUDI Diesel, termasuk tukar hak milik kenderaan, pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan, serta urusan JPJ lain yang berkaitan.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, sejak pengumuman peralihan kepada sistem subsidi bersasar BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pada 22 Jun lalu, Kerajaan MADANI telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama rakyat, peniaga kecil, pemegang taruh dan agensi pelaksana bagi memastikan mekanisme ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh rakyat Malaysia yang layak.

Kerajaan MADANI katanya, turut mengambil kira pelbagai kekangan dan rayuan yang dikemukakan, termasuk keadaan di mana kenderaan diesel digunakan oleh pengguna sebenar, namun masih didaftarkan atas nama ahli keluarga terdekat.

Untuk itu, jelas beliau, menjelang akses awal pelaksanaan BUDI Diesel bagi penerima layak di Semenanjung Malaysia mulai esok, beberapa penambahbaikan ini telah dipersetujui bagi memastikan peralihan kepada BUDI Diesel berjalan lancar.

“Peralihan kepada BUDI Diesel adalah untuk memastikan subsidi diesel sampai kepada rakyat Malaysia yang layak, di samping menutup ruang ketirisan yang telah merugikan negara berbilion ringgit setiap tahun. Setelah mendengar maklum balas dan rayuan rakyat, Kerajaan MADANI bersetuju melaksanakan penambahbaikan ini bagi melancarkan pelaksanaan BUDI Diesel,” katanya.

Akses awal BUDI Diesel akan bermula esok bagi pengguna kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia dan sepanjang tempoh akses awal ini, diesel bersubsidi boleh dibeli pada harga RM2.15 seliter melalui pengesahan MyKad di stesen minyak yang mengambil bahagian.

Pelaksanaan penuh BUDI Diesel akan bermula pada 1 Julai 2026 di seluruh negara dengan harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter bagi rakyat Malaysia yang layak.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img