Bunuh isteri : Maut akibat tekanan pada leher, tiga kesan tikaman ditemukan

PUNCA kematian pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Allahyarhamah Norhazwani Ibrahim yang dipercayai dibunuh suaminya di sebuah rumah di Nilai, Khamis lalu, dikenal pasti akibat tekanan pada leher.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, perkara itu berdasarkan dapatan awal bedah siasat yang dijalankan selama kira-kira lima jam di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), hari ini.

Menurutnya, bedah siasat dijalankan oleh Dr Akma Nurain Fairuz Mahamad Arif bermula jam 9.40 pagi hingga 2.30 petang.

“Dapatan awal bedah siasat itu menunjukkan punca kematian ialah tekanan pada bahagian leher,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, pemeriksaan turut menemukan tiga kesan tikaman menggunakan senjata tajam, masing-masing dua di bahagian perut dan satu di pipi kanan.

Terdahulu, jenazah Norhazwani, 35, dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik HTJ kira-kira jam 3 petang selepas proses dokumentasi selesai.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Kuarters KLIA di Nilai untuk disolatkan sebelum dibawa pulang ke Kelantan bagi urusan pengebumian.

Beberapa ahli keluarga, rakan sekerja serta wakil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan AKPS turut berada di jabatan itu ketika bedah siasat dijalankan.

Sebelum ini, media melaporkan suami mangsa yang juga suspek menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor, dan memaklumkan membunuh isterinya di kediaman kakitangan awam di Nilai.

Alzafny dilaporkan berkata, suspek direman tujuh hari bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here