Buruh mengaku simpan pistol milik pengawal peribadi tertinggal dalam tandas

SEORANG buruh didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri dan menyimpan sepucuk pistol bersama peluru hidup yang ditemuinya di tandas sebuah stesen minyak, Ahad lalu.

Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hasni Muhamad, 36, selepas mengambil kira pengakuan bersalah, rayuan serta hujahan kedua-dua pihak.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda, namun dia gagal menjelaskan denda berkenaan dan dihantar ke Penjara Kluang.

Bagi pertuduhan pertama, bapa kepada tiga anak itu didakwa memiliki sepucuk pistol jenis CZP-07 bersama 10 butir peluru hidup tanpa lesen sah di sebuah rumah di Taman Pasifik Selatan pada jam 7.55 malam, 12 April lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mencuri senjata milik sebuah syarikat keselamatan yang ditinggalkan di tandas sebuah stesen minyak di Jalan Kluang kira-kira jam 4.15 petang hari sama.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, tertuduh menemukan pistol bersama peluru hidup yang ditinggalkan individu tidak dikenali sebelum membawanya pulang ke rumah.

Walaupun dinasihati isterinya supaya memulangkan senjata itu, tertuduh enggan berbuat demikian.

Kegiatan itu terbongkar selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan menunjukkan kelibat tertuduh sebelum polis menahannya di rumahnya.

Hasil siasatan lanjut, polis berjaya menemukan semula pistol terbabit yang disimpan di dalam kotak di belakang rumah dengan dipandu arah oleh tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img