SEORANG pesara guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini atas 17 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tujuh pelajar perempuan berusia antara 13 hingga 15 tahun.
Zaidi Abbas, 56, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rafidah Che Aziz, lapor Bernama.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang mempunyai hubungan amanah sebagai guru didakwa melakukan perbuatan berkenaan bagi maksud seksual terhadap tujuh mangsa.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara Mei 2024 hingga 7 Julai 2025 di sebuah sekolah menengah di Langkap, termasuk di bilik khas dan kantin sekolah, selain di dalam sebuah kenderaan di sekitar kawasan berkenaan serta ketika perjalanan pulang dari Teluk Intan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebatan, selain penjara tambahan sehingga lima tahun serta tidak kurang dua sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan menawarkan jaminan RM70,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tertuduh tidak mengganggu mangsa sepanjang prosiding dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Bagaimanapun, peguam Koh Shean Wai memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan kepada RM1,000 bagi setiap pertuduhan.
Beliau berkata, anak guamnya menanggung isteri, ibu serta empat anak yang masih bersekolah dengan pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan.
Katanya, tertuduh juga orang kurang upaya (OKU), tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan tidak berisiko melarikan diri kerana mahu membersihkan namanya di mahkamah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Disember ini.





